PASIR PUTEH - Pasukan Gerakan Marin (PPM) merampas 60 ekor musang pandan dipercayai untuk diseludup ke Vietnam melalui jalan laut.

Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin berkata, haiwan itu ditemui berdekatan satu jeti dekat Tok Bali di sini, semasa bot ronda PSC53 menjalankan Ops Gelora Siri 59/2018.

Menurutnya, PPM dengan kekuatan lapan anggota memeriksa kawasan jeti berkenaan petang semalam hasil maklumat orang ramai.

"Kita menemui 60 ekor musang disembunyikan di luar kawasan berpagar yang dipercayai untuk diseludup ke Vietnam.

"Kita percaya kawasan itu dijadikan pusat mengumpul haiwan terbabit dan akan dimuatkan ke bot nelayan untuk dihantar ke Vietnam selepas mencukupi jumlah sasarannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Taktikal (Martek) PPM Tok Bali, malam tadi.

Reduan berkata, daripada maklumat yang diperolehi Unit Risikan Marin, musang pandan mendapat permintaan tinggi di Vietnam sebagai makanan eksotik.

"Nilai rampasan adalah RM12,000 kerana setiap seekornya bernilai RM200 di negara berkenaan," katanya.

Kes itu katanya, dirujuk ke Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 dan kesemua musang itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini tindakan selanjutnya.

"Setakat ini belum ada tangkapan, kita akan terus menyiasat untuk mengesan dalang aktiviti ini," katanya.