JOHOR BAHRU - Umno Johor gesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng digesa memohon maaf secara terbuka susulan tindakan beliau mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian di dalam Bahasa Mandarin dan bukannya bahasa Melayu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau terkilan dengan tindakan Guan Eng yang disifatkan sangat biadap, menghina dan merendah-rendahkan kedudukan bahasa kebangsaan itu.

“Tindakan tersebut sangat biadap, menghina dan merendah-rendahkan kedudukan bahasa Melayu yang menjadi perkara asas bukan sahaja dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi dalam setiap amalan dan urusan Kerajaan Malaysia.

“Ini kerana kenyataan yang dikeluarkan dalam Bahasa Mandarin itu merupakan kenyataan rasmi melibatkan urusan pentadbiran negara dan bukannya sesuatu yang bersifat peribadi atau tidak rasmi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamed Khaled berkata, tindakan tersebut  jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan amalan pentadbiran negara ini yang mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Katanya, tindakan Guang Eng itu dilihat seolah- olah sengaja mahu menunjukkan keangkuhan dan sikap semberono dalam menjalankan tugas rasmi kerajaan.

“Lebih teruk, beliau sendiri yang sebelum ini, semasa dipertikaikan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan dengan lantang mengatakan bahawa 'I am not Chinese, I am Malaysian'.

“Jika tindakan tersebut bukan sekadar satu gimik politik yang penuh kepura-puraan, sebaliknya bertujuan menunjukkan semangat kebangsaan dan nilai beliau sebarang seorang warga negara Malaysia, mengapa ia tidak diterjemahkan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata, sekalipun ingin beralih dari bahasa rasmi, Guan Eng perlu mengeluarkan kenyataan tersebut dalam semua bahasa-bahasa utama.

Justeru itu, menurutnya, kerajaan seharusnya lebih peka, sensitif dan berhati-hati dalam perkara ini.

"Jangan sampai kerajaan hari ini dilihat oleh rakyat sebagai 'kaduk naik junjung'.

"Baru sahaja mendapat kuasa, tindakan dan amalannya sudah jauh melampau dan melebih-lebih sehingga tidak menghormati perkara-perkara asas,” katanya.