PONTIAN - Umno masih menggalas tanggungjawab dan amanah diberikan pengundi pada PRU14 lalu.

Ketua Umno Bahagian Pontian, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, masih ramai wakil Umno di peringkat  Dun dan Parlimen membuktikan Umno masih diberi kepercayaan.

"Kita baru kalah sekali. Umno bukannya 'out' cuma 'down'. Kita masih mempunyai banyak wakil.

"Kita masih ada tanggungjawab dan amanah dari pengundi- pengundi yang perlu dipikul,"katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri di Rumah Umno Benut, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Pontian , Datuk Seri Ahmad Maslan

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Johor  menggesa agar Umno melihat semula kerjasama dengan parti- parti kompenan selepas tidak lagi menjadi kerajaan.

"Kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden berhubung parti- parti di Sarawak yang keluar dari BN, amat dipersetujui.

"Tindakan parti- parti itu jelas menggambarkan tiadanya semangat kesetiaan dalam perjuangan,"katanya.

Beliau yang juga Adun Benut turut menyatakan pendirian untuk terus berdiri dibelakang kepimpinan Mohamed Khaled dalam menyuarakan perubahan yanb diharapkan dalam Umno.

"Saya menyeru ahli Umno agar melihat semula kepada tujuan dan matlamat Umno ditubuhkan.

"Kita perlu menyesuaikan Umno dengan keadaan semasa kerana masyarakat hari ini lebih terbuka dan mahukan perubahan," katanya.

Jelasnya, Umno sudah lama mendapat isyarat untuk berubah tetapi kerana kegagalan menterjemahkannya, maka parti itu gagal pertahankan pentadbiran mereka.

 

Sementara itu, kira- kira 1,000 orang hadir memeriahkan rumah terbuka tersebut yang menyajikan pelbagai menu makanan seperti burasak dan lepat loi.