JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) mula memperkenalkan penggunaan skuter elektronik (e-skuter) sebagai usaha melancarkan lagi tugasan penguatkuasaan di sekitar bandaraya Johor Bahru.

Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman berkata, setakat ini mereka mempunyai tiga e-skuter dan 10 basikal sebagai aset terbaharu yang digunakan unit penguatkuasanya untuk menjalankan rondaan di jalan sekitar kawasan bandar.

Menurutnya, selain dapat membantu melancarkan trafik, kenderaan elektronik itu juga bersifat lebih mesra alam sekitar selaras dengan aspirasi pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melestarikan kehidupan hijau.

“Kami memperkenalkan e-skuter di bawah inisiatif masyarakat karbon rendah untuk menjadikan bandar ini lebih hijau.

“Saya yakin MBJB adalah PBT pertama di negeri ini yang menggunakan kenderaan tersebut sebagai sebahagian daripada strategi penguatkuasaannya. E-skuter dua roda yang digunakan mempunyai berat antara 90 dan 100 kilogram dan boleh berjalan dengan kelajuan melebih dari 30 kilometer sejam,” katanya.

Amran berkata, e-skuter dan basikal lebih mudah dikendalikan bagi memastikan kakitangan penguatkuasa MBJB dapat bergerak di dalam kawasan yang sempit terutama apabila terdapat kesesakan lalu lintas.

“Sejak menggunakan basikal dan e-skuter awal tahun ini, ia membantu mengurangkan perbelanjaan MBJB kerana e-skuter berkenaan menggunakan kuasa bateri untuk bergerak.

“E-skuter ini juga membantu MBJB untuk menyumbang secara positif dalam mengurangkan pencemaran, sekali gus menjimatkan penggunaan petrol sekiranya penguatkuasa menggunakan motosikal,” katanya.

Katanya, MBJB merancang menggunakan lebih banyak kenderaan elektronik itu pada masa akan datang sebagai satu lagi tambah nilai ke arah mencapai matlamat Johor Bahru bandaraya selamat.

“Kami merancang memperluaskan kenderaan ini untuk unit penguatkuasa kerana mereka sentiasa berada di lapangan untuk memastikan bandar lebih selamat.

“Dan kini MBJB mempunyai seramai 170 anggota penguatkuasa,” katanya.