• R&R pertama perlu dibaikpulih Kawasan gerai simpang Felda Tenggaroh ini menjadi destinasi persinggahan pengunjung yang datang ke daerah Mersing.
1 /

MERSING – Pengunjung di kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) di jalan utama menuju Felda Tenggaroh, dekat sini, berharap kemudahan infrastruktur disediakan di situ dapat dibaikpulih untuk keselesaan orang ramai.

Peniaga kedai, Ramlah Moh, 52, berkata, sejak menjalankan perniagaan di kawasan tersebut, tiada sebarang perubahan besar dilihat bagi menaik taraf kawasan ruang rehat berkenaan.

"Di sini adalah kawasan rehat pertama dari jalan Kota Tinggi ke Mersing, tetapi sejak mula berniaga pada tahun 1994, tiada sebarang perubahan yang besar dibuat bagi memperindah kawasan ini,” katanya.

Pengunjung dari Johor Bahru, Ahmadi Roslan, 42, berkata, kawasan tersebut menjadi destinasi pilihan keluarganya setiap kali datang bercuti ke Mersing.

“Daripada pemerhatian saya, kawasan ini perlu diperindah kerana pengunjung dari luar menjadikan ia sebagai lokasi persinggahan tempat rehat, makan serta menunaikan solat.

“Apa yang menyedihkan, kemudahan tandas sedia ada terdapat banyak kerosakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Mersing, Jamil Husni Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya pernah membaiki kemudahan tandas awam dan surau serta laluan masuk ke kawasan berkenaan.
 
“Kami sudah dua kali membaiki kemudahan tandas di kawasan tersebut, malah sentiasa meninjau untuk mengenal pasti masalah yang berlaku di sana.

“Apa yang menghampakan, sikap pengguna yang tidak bertanggungjawab untuk menjaga kemudahan awam yang disediakan sehingga menyukarkan orang lain menggunakan kemudahan di situ dengan selesa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang membuat kertas kerja untuk dihantar kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor bagi menaik taraf kawasan berkenaan.

“Ia merupakan tindakan peningkatan infrastruktur sebagaimana seperti ruang rehat dan rawat yang sedia ada di lebuh raya,” katanya.

Selain itu, Jamil berharap peniaga di lokasi berkenaan dapat bekerjasama dengan pentadbiran di peringkat daerah dalam usaha memastikan kemudahan yang disediakan dapat diuruskan dengan baik.