PONTIAN - Pulau Kukup terkenal sebagai destinasi pelancongan di daerah ini. Pulau berkeluasan 1, 447 hektar merupakan hutan paya bakau tiada penghuni kedua terbesar di dunia.

Pulau Kukup dapat dilihat dengan jelas dari Pekan Kukup Laut yang hanya mengambil masa perjalanan 10 minit menaiki bot penumpang.

Pulau yang kaya dengan pelbagai spesis pokok bakau, flora dan fauna ini sangat penting bagi penduduk dan nelayan.

Ketua Pakatan Jeti Nelayan Melayu Kukup, Hasbullah Malik berkata, pihaknya hormati keputusan mengenai Pulau Kukup yang akan dibuat kerajaan negeri.

Katanya, selepas mengetahui dokumen pewartawaan Pulau Kukup sebagai rizab yang sudah dibatalkan bertarikh 24 September lalu melalui media sosial, dia hanya berharap langkah berkesan diambil bagi membangunkan pulau berkenaan.

Hasbullah turut berkongsi kisah Pulau Kukup yang pernah menjadi nadi kehidupan nelayan dan masyarakat tempatan sebelum pulau itu diwartawakan sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997.

“Dulu Pulau Kukup tempat nelayan cari makan. Ada banyak siput, ibau ( sejenis lokan), ikan dan ketam.

“Kalau musim tengkujuh nelayan tidak ke laut mereka akan ke Pulau Kukup. Memang luma­yan hasil tangkapan yang diperoleh dari Pulau Kukup,” katanya.

Tambah Hasbullah, Pulau Kukup yang kini tidak berpenghuni dahulunya menjadi tempat kediaman bagi segelintir penduduk di Kukup.

“Sekarang tiada yang tinggal di Pulau Kukup. Tetapi dulu ada yang tinggal di pulau bekerja sebagai nelayan dan mencari hasil hutan.

“Pulau Kukup pada masa sekarang terkenal sebagai destinasi pelancongan. Orang luar yang datang ke Pontian mesti hendak datang ke Pulau Kukup,” katanya.

Bagi nelayan, Yaacob Mohd Said, 60, dia bimbang mata pencarian nelayan tempatan di situ akan terjejas kerana Pulau Kukup menjadi habitat pembiakan bagi pelbagai jenis ikan dan hidupan kerang-kerangan.

Katanya, Pulau Kukup juga dikenali sebagai kawasan pelancongan yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk di Pekan Kukup.

“Pulau Kukup bukan setakat sebuah pulau, tetapi di situ merupakan tempat tinggal dan pembiakan pelbagai spesis hidupan dan tumbuh-tumbuhan.

“Pelancong yang datang akan ke Pekan Kukup dulu. Deretan kedai di bahu jalan sebelum Terminal Feri Antarabangsa Kukup beri pilihan kepada pelancong untuk makan, minum dan beli cenderamata,” katanya.