BATU PAHAT - Seorang pengurus sebuah hotel di Ayer Hitam, di sini, maut setelah kereta yang dipandunya terbabas dalam satu kejadian di Kilometer 110, Jalan Johor Bahru Seremban, pagi tadi.

Dalam kemalangan yang berlaku pada jam 5.15 pagi itu mangsa memandu sendirian dalam perjalanan dari Yong Peng dan menuju ke arah Ayer Hitam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa, S Vincent, 28, asal Taiping, gagal mengawal kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandunya lalu terbabas ke lorong bertentangan lalu kemudiannya melanggar batang paip yang berada di tepi jalan.

“Akibat kemalangan itu mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kemudiannya disahkan maut serta merta di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati yang mangsa ini kemalangan sendirian dan tidak membabitkan kenderaan yang lain,” katanya

Menurut Abdul Wahib lagi, mangsa juga memandu dalam keadaan mengantuk dan kemudiannya tertidur sebelum terbabas ke jalan yang bertentangan.  

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tujuan dokumentasi dan proses bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati lokasi kemalangan adalah selekoh dua lorong dan dua hala, selain cuaca selepas hujan serta jalan berada dalam keadaan licin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu,"katanya.

Sehubungan itu,  polis menasihatkan orang ramai agar memandu dengan cermat dan berhati-hati bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.