• Pemilik lembu perlu bertanggungjawab Ternakan yang dibiarkan berkeliaran boleh mengundang padah kepada orang ramai.
1 /

ENDAU - Pemilik lembu sekitar daerah ini perlu bertanggungjawab dan tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya boleh mengundang padah kepada pengguna.

Tinjauan Sinar Harian di Jalan Endau-Penyabong dekat sini, mendapati haiwan ternakan itu dibiarkan berkeliaran di jalan raya yang boleh mengancam nyawa pengguna terutama pada waktu malam.

Malah, sekumpulan lembu berkenaan yang tidak dikurung pemiliknya juga dilihat menggunakan pondok menunggu bas untuk berteduh dan menjadikan tempat tidur pada waktu malam selain berada di  tepi jalan.

Justeru, orang ramai yang berulang-alik menggunakan jalan berkenaan meminta pihak berwajib bertindak segera mengatasi masalah berkenaan bagi mengelak lebih banyak  insiden buruk berlaku.

Pengguna, Mazlan Awang, 41, berkata, dia yang biasa menggunakan jalan berkenaan untuk aktiviti harian berasa bimbang kerana haiwan ternakan itu sering melintas  secara tiba-tiba.

“Lembu berkeliaran di tepi dan di tengah jalan cukup membimbangkan saya kerana haiwan itu akan melintas  secara tiba-tiba.

“Lebih membimbangkan apabila ada lembu yang duduk atas jalan pada waktu malam. Keadaan ini cukup membahayakan pengguna,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mazlan turut berasa kesal apabila lembu yang seakan tidak bertuan itu menjadikan pondok menunggu bas dan anjung kediaman orang ramai sebagai sasaran tempat tidur pada waktu malam.

“Ada dalam kalangan pelajar sekolah yang menggunakan kemudahan awam ini mengeluh bau najis ternakan ini. Ada kalanya ternakan yang memasuki kawasan kediaman orang juga menyebabkan ada penduduk terpaksa membersihkan kotoran yang ditinggalkan.

“Terdapat juga rungutan orang ramai sekumpulan haiwan ternakan yang umpama tidak bertuan ini memasuki kebun dan halaman rumah seterusnya merosakkan tanaman penduduk  kampung,” katanya.

Kebimbangan sama turut disuarakan Jalila Abu Bakar, 45, yang mendakwa kehadiran sekumpulan lembu terbabit menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pengguna lalu lintas termasuk dirinya.

Menurutnya, haiwan itu menjadikan jalan raya tempat tidur pada waktu malam terutama berhampiran selekoh.

“Saya sendiri pernah hilang kawalan ketika memandu  apabila ada di antara ternakan ini secara tiba-tiba melintas.

“Pemilik haiwan ternakan ini seharusnya menyediakan kandang kerana ia  mengundang kebimbangan kepada orang ramai. Pengguna lalu lintas sendiri berisiko  untuk terlibat dalam  kemalangan jalan raya,” katanya.

Bagi Roshidah Abdul Rahman, 37, berkata, orang ramai perlu berwaspada setiap kali melalui jalan itu kerana mengetahui jalan berkenaan merupakan kawasan ternakan lembu dilepaskan secara bebas oleh pemiliknya.