SEGAMAT - Mahkamah Majistret Segamat, membenarkan tahanan reman seorang pemandu treler yang menyebabkan kemalangan empat sekeluarga di KM176 Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, di sini, semalam.

Perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap pemandu treler berusia 41 tahun yang bermula hari ini sehingga 11 September 2018 ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Ahmad Shakib Ismail, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Terdahulu, pemandu treler tersebut yang memakai baju T berwarna hijau dibawa ke pekarangan IPD Segamat kira-kira jam 6 petang dengan menaiki kenderaan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, pemandu treler itu kini ditahan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, siasatan awal terhadap pemandu berkenaan juga mendapati mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan lalu lintas dan dalam kemalangan tersebut, pemandu treler berkenaan tidak mengalami kecederaan serius dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Segamat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Empat sekeluarga maut kemalangan]