JOHOR BAHRU - Tindakan seorang peniaga basikal yang cuba mengaburi  mata pihak berkuasa daripada kegiatan menjual mercun akhirnya terbongkar apabila premis suspek diserbu, petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang dalam kenyataan di sini hari ini berkata serbuan berdasarkan risikan itu dilakukan pada 2.30 petang di Kampung Ungku Mohsin di sini.

Daripadanya, polis berjaya menemukan lebih 70 kotak dan tujuh papan mercun pelbagai jenis dari premis suspek berusia 42 tahun itu.

Kesemua barangan dianggarkan bernilai RM28,000 dan telah dibawa ke Pangkalan Polis Marin Wilayah Dua di Tampoi untuk proses dokumentasi.

Suspek pula ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Akta Bahan Letupan 1957. - Bernama