JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Segamat dan Mersing meningkat kepada 1,094 mangsa daripada 299 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di dua daerah berkenaan, setakt jam 2 petang tadi.

Jumlah tersebut meningkat berbanding 1,062 mangsa daripada 286 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS berkenaan pada jam 12 tengahari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang juga Ketua Sekteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mat Zin Bujang berkata, di Segamat 102 mangsa dari 22 keluarga ditempatkan di empat PPS daerah itu.

“Ia membabitkan Balairaya Gemerah Empat Batu Badak, Balairaya Kampung Pogoh Tengah, Kompleks Penghulu Mukim Pogoh dan Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam berikutan Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh Tengah dan Kampung Tekam terjejas banjir.

“Di Mersing pula, seramai 992 mangsa daripada 277 keluarga ditempatkan di tujuh PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, SK Air Papan, Sek Agama (SA) Pengkalan Batu, SA Mersing Kanan, SK Labong, Balairaya Kampung Air Merah dan Balairaya Kampung Benaung.

“Beberapa kampung di sekitar Mersing terjejas akibat banjir iaitu Tenglu Besar, Air Papan, Baru Jemari, Sungai Muka Dua, Orang Asli Labong dan Air Merah,” katanya.

Mat Zin berkata, Jalan Telok Arong di Mersing ditutup untuk semua lalulintas akibat runtuhan cerun dan orang ramai dinasihatkan mengikut laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang, Jalan Mersing/Endau dan Jalan Air Papan.

“Lintasan Air Jalan Johor Bahru-Kuantan juga turut ditutup untuk kenderaan ringan dan orang ramai boleh melalui Jalan Sekakap-Meta sebagai jalan alternatif. Pemantauan berterusan telah dilakukan oleh agensi dan Pejabat Daerah yang terlibat,” katanya.