MERSING - Laporan terperinci berkaitan seekor dugong yang ditemui mati di perairan Pantai Kampung Tanjung Balang, Pulau Tinggi akan dikeluarkan selepas siasatan terperinci dijalankan.

Exco Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata pihaknya menerima aduan penduduk kampung tentang penemuan itu kira-kira jam 5 petang, semalam.

"Bangkai dugong itu dibawa ke makmal Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (FRI) untuk bedah siasat terperinci.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bangkai dugong ditemui di pantai Pulau Tinggi]

"Laporan terperinci akan dikeluarkan Jabatan Perikanan dan Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (FRI) setelah siasatan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, gambar seekor dugong yang ditemui mati dengan matanya mengalir darah mengundang simpati orang ramai.

Menurutnya, dugong merupakan spesies terancam yang digazetkan bawah Akta Perikanan 1985 sebagai mamalia akuatik.

"Kes kematian dugong seperti ini dilihat sebagai satu kerugian kepada rakyat dan satu tindakan pemeliharaan secara serius sedang dijalankan.

"Ini termasuk mewartakan santuari dugong di perairan laut negeri Johor. Ia membolehkan kawasan pemakanan bagi spesies dugong dapat dilindungi dan dipulihara," katanya.

Difahamkan Jawatankuasa Tindakan Kedamparan Mamalia Marin telah lama ditubuhkan bagi menangani masalah seumpama ini.

Orang ramai dinasihatkan menghubungi pihak berkuasa segera sekiranya menemui spesies marin terancam sama ada masih hidup atau telah mati untuk tindakan selanjutnya.

Sementara Pengarah Jabatan Taman Laut Negeri Johor, Mohd Nizam Ismail menjangkakan selewatnya tujuh hari bagi mengenalpasti punca kematian dugong malang itu.

"Jika akibat kecederaan ambil masa sehari untuk kenalpasti punca kematian.

"Tapi jika kematiannya akibat penyakit ia ambil masa sehingga tujuh hari kerana perlu semak kaji penyakit di makmal," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Sedarkah kita, bahawa Malaysia mempunyai kekayaan spesies rumput laut yang tertinggi di dunia sekali gus menjadi kawasan tumpuan kehadiran dugong bagi mencari makanan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.