JOHOR BAHRU - Sebuah kilang memproses ayam di Taman Perindustrian Utama di Pontian musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas, Mahadir Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 5.35 pagi.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.35 pagi, empat jentera bersama 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ia membabitkan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nenas dengan bantuan dari BBP Pontian dan BBP Pontian Baru.

“Kebakaran menyebabkan kilang memproses ayam tersebut terbakar 100 peratus, namun kira-kira 9,000 ekor ayam berjaya diselamatkan,” katanya.

Mahadir berkata, ketika kejadian terdapat lebih daripada 10 pekerja, namun kesemuanya dilaporkan selamat.

“Operasi memadam kebakaran masih lagi dijalankan. Punca sebenar kejadian serta angaran kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.