JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri mengesan terdapat kegiatan pemalsuan dokumen sijil layak memiliki rumah (SLMR) yang membabitkan agenda pembahagian Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, kegiatan tidak bermoral itu dikesan Setiausaha Kerajaan Bahagian Perumahan (SUKJ) dua minggu lalu apabila seorang mangsa tampil membuat aduan.

Menurutnya, setakat ini dipercayai terdapat sembilan kes pemalsuan dokumen sulit terbabit yang mana melibatkan beberapa unit rumah berbeza kategori di Taman Perniagaan Setia 2, Bandar Dato Onn, di sini.

“Kita menerima laporan berhubung perkara ini apabila seorang daripada mereka yang telah mendapat dokumen SLMR palsu ini tampil ke pejabat SUKJ untuk mengetahui status lanjut berhubung pembahagian rumah seperti yang dijanjikan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Bagaimanapun, penelitian daripada SLMR yang diberikan itu didapati palsu selepas kita melihat format digunakan dan nombor rujukan fail berbeza selain lot pejabat tanah daerah (PTD) yang telah ditawarkan kepada penerima lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Risda Negeri Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Risda negeri, Daman Huri Toha.

Dzulkefly berkata, berdasarkan perkara dimaklumkan mangsa yang diperdaya itu mereka turut dikenakan sebanyak RM5,000 sebagai bayaran tempahan setiap unit yang diminta.

“SUKJ tidak pernah mengeluarkan sebarang bayaran untuk tempahan unit rumah yang ditawarkan. Jadi saya minta orang ramai untuk tidak mudah percaya dengan perkara seperti.

“Semua butiran yang kita mahu atau diperlukan hanya dimaklumkan menerusi portal rasmi SUKJ berhubung pemilikan unit RMMJ,” katanya.