TANGKAK - Sebuah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Kilometer (KM) 151.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, tumbang disyaki angkara perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata kejadian itu disedari pada pukul 9.35 pagi tadi oleh pekerja syarikat penyelenggara peralatan terbabit di tempat kejadian.

“Sebuah kereta peronda lebuh raya yang membuat rondaan dari Ayer Keroh ke Johor Bahru bergegas ke tempat kejadian setelah menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.

Siasatan awal mendapati tiang kamera AES terbabit telah tumbang dan beberapa komponen di dalam alat terbabit dipercayai dicuri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, polis masih mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan khianat tersebut dan pihaknya percaya kegiatan itu mungkin dilakukan pada waktu malam.  

Mohad Idris berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu pihak polis.

Pada Jun lalu, kamera AES yang dipasang di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak itu antara perangkap had laju terkini yang dipasang pihak berkuasa.

Sebuah lagi kamera AES yang berada berdekatan lokasi tersebut adalah di KM 146.8 menghala selatan dan difahamkan kamera berkenaan tidak terlibat dalam perbuatan khianat itu serta masih beroperasi seperti biasa. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Polis Perak mencadangkan supaya Kamera SistemPenguatkuasaan Automatik (AES) dan bonggol dipasang di kawasan Kilometer 265.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora bagi mengurangkan kadar kemalangan.
  • SEREMBAN - Pemasangan 1,200 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang bakal dilaksanakan di seluruh negara tidak sepatutnya dianggap sebagai beban kepada pengguna jalan raya.
  • SEREMBAN - Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bukan untuk keuntungan, sebaliknya menghargai nyawa orang ramai.
  • ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyokong semua langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya termasuk pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.