KLUANG - Seorang jurujual ditemui mati dipercayai ditetak dengan sebilah parang di hadapan sebuah kedai iklan di Jalan Aziz Awab, Kluang Baru, dekat sini, malam tadi.

Mangsa berusia 44 tahun itu ditemui orang awam jam 10.20 malam kemudiannya menghubungi polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Abdul Razak Abdullah Sani berkata, berdasarkan maklumat, ketika kejadian berlaku si mati sedang minum bersama beberapa rakannya di sebuah restoran Cina di Kluang Baru.

 “Saksi beritahu ketika sedang minum bersama si mati, nampak empat lelaki menaiki dua motosikal.  

“Salah seorang suspek menuju ke arah si mati dengan membawa sebilah parang dan terus menetak di belakang leher. “Kesemua pelanggan restoran bersama saksi melarikan diri.

Selepas ditetak di hadapan restoran berkenaan, si mati berjaya melepaskan diri menuju ke jalan besar, tetapi suspek menahan si mati di hadapan kedai iklan lalu menetak si mati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Razak berkata, mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom dan meninggal dunia semasa menerima rawatan. Katanya, si mati mengalami kecederaan di belakang leher, punggung, lengan kiri dan kedua-dua bawah betis hampir putus.

“Kes disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan. Seorang lelaki berusia 47 tahun bersama kekasihnya, 43, telah ditahan untuk bantu siasatan.

“Lelaki yang ditahan itu merupakan seorang tukang servis penghawa dingin manakala kekasihnya tidak bekerja," katanya.

Abdul Razak berkata, hasil ujian urin ke atas kedua-dua suspek adalah negatif. Bagaimanapun, kedua-dua suspek tersebut telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.