JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menyeru kepada pengusaha dan pemandu lori membawa bahan batuan di negeri ini agar mematuhi peraturan ditetapkan.

Pengarah JPJ negeri, Razali Wagiman berkata, pihaknya mendapati wujud segelintir pengusaha dan pemandu lori membawa muatan tidak mengikuti peraturan sehingga ia berisiko mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, JPJ Johor juga ada menerima aduan daripada orang awam yang menyuarakan kebimbangan dari segi keselamatan.

“JPJ Johor sedang menjalankan penguatkuasaan dan mendapati segelintir pengusaha lori terutamanya lori yang membawa bahan batuan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Mereka faham banyak mana yang boleh dibawa dan kami mendapati aduan daripada orang awam di tempat-tempat yang berkenaan yang amat risau terutamanya dari segi keselamatan.

“Mereka membawa muatan yang melampau. Jadi ia boleh merosakkan jalan tempat yang dilalui dan selain itu, bila sudah hantar muatan tersebut, bila dia kosong, dia membawa kenderaan dengan tidak bertimbang rasa dan laju. Jadi mereka ini risau atas keselamatan anak-anak mereka yang menggunakan jalan tersebut,” katanya.

Razali berkata, pihaknya menyeru pengusaha dan pemandu lori tersebut supaya patuh kepada syarat ditetapkan bagi mengurangkan risiko bahaya di jalan raya.

Katanya, setakat ini, JPJ Johor sentiasa melakukan pemantauan ke atas lori-lori terbabit malah mengenakan tindakan penguatkuasaan kepada mereka yang didapati melakukan kesalahan.

“Kawasan (pemantauan) di seluruh negeri Johor, tapi kita dapat kesan sebelah pantai barat.

“Aduan ada yang melalui lisan, Facebook, WhatsApp yang kita terima. Apa yang mereka sampaikan kita sentiasa mengambil tindakan sewajarnya. emel pun ada,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini JPJ mengambil tindakan di bawah kaedah Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor 1959 (pembinaan dan kegunaan).

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan.

“Ini (pemantauan dan penguatkuasaan) akan dilakukan secara berterusan sehingga kita berpuas hati mereka patuh kehendak undang-undang,” katanya.