ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM520,000 untuk menjayakan program Johor Future 3.0 2018.

Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, peruntukkan tersebut membabitkan penganjuran aktiviti Johor Future Home, Johor Future Run dan Ride, promosi negeri dan daerah serta identiti kebudayaan negeri dan daerah.

Menurutnya, sejumlah RM280,000 diperuntuk untuk Johor Future Home yang melibatkan 280 buah daripada 56 Dun di negeri. 

“Lima rumah dipilih setiap Dun dengan peruntukkan RM1,000 untuk setiap rumah untuk dibaikpulih.

“Peruntukkan diberi sebanyak RM16,000 satu daerah untuk menganjurkan Johor Future Run dan Ride yang mana keseluruhannya berjumlah RM160,000 untuk satu Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Taklimat Sukan Muafakat Johor 2018 dan penyerahan cek Johor Future 3.0 2018 di Bilik Gerakan Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Zulkurnain berkata, selain itu, Majlis Sukan Negeri Johor akan mengelolakan aktiviti promosi sukan dan negeri dengan RM40,000 akan disalurkan untuk seluruh Johor.

“Yayasan Warisan Johor juga berperanan melaksanakan aktiviti kebudayaan negeri dan daerah dengan peruntukkan RM40,000 untuk seluruh Johor,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 5,000 sukarelawan seluruh Johor akan terlibat dalam kesemua aktiviti yang diadakan untuk Johor Future tahun ini.

“Tujuan Johor Future ini adalah memberikan aktiviti bermanfaat kepada warga setempat serta belia dalam menyemarakkan aktiviti kesukarelaan.

“Johor Bahru akan memulakan program Johor Future pada 10 Mac lepas diikuti Kulai pada 24 Mac, Pontian (1 April), Batu Pahat (8 April) dan Muar (15 April).

“Kemudiannya Tangkak (22 April), Segamat (29 April), Kluang (22 Julai), Mersing (29 Julai) dan Kota Tinggi (5 Ogos),” katanya.