TANGKAK - 'Itu alternatif pejabat kerajaan daerah sebagai memohon perlindungan daripada bala bencana,' demikian maklum balas diberikan Pegawai Daerah Tangkak, Mahadon Marnin.

Mahadon berkata demikian sebagai mengulas teka-teki segelintir pihak berhubung kesahihan surat yang tular dari Pejabat Kadi Daerah Tangkak mengenai pelaksanaan solat hajat.

Terdahulu, surat rasmi berkaitan penganjuran solat hajat pada setiap Khamis bagi November ini dikongsi melalui aplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan keraguan orang ramai.

Petikan surat menyarankan orang ramai membuat hebahan melaksanakan solat sunat hajat setiap Khamis selepas solat Maghrib serta solat Jumaat bertujuan memohon kepada ALLAH agar dikurniakan keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan kepada negara khususnya rakyat dan negeri Johor itu mengundang tanda tanya gara-gara kebanyakan pembaca beranggapan jemputan itu adalah tidak sahih.

Bagaimanapun, tegas Mahadon, pihaknya menggunakan pendekatan itu sebagai kaedah utama memohon perlindungan daripada ALLAH SWT.

“Surat itu memang sahih dikeluarkan oleh kami melalui Pejabat Kadi Daerah kepada pengurusan Masjid Jamek Bandar Tangkak di sini. Tiada paksaan bagi individu atau masjid serta surau lain yang ingin melakukannya. Namun, kita hanya mempelawa agar orang ramai dapat sama mengimarahkan solat sunat hajat diadakan setiap Khamis selepas Maghrib di sini.

“Solat hajat ini tidak ber­maksud lain, ia hanya ber­tujuan menghindarkan ke­jadian buruk bagi negara khu­susnya negeri Johor dan konsep sebegini pertama kali dilaksanakan sepanjang saya menjadi pegawai daerah di sini,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu diambil bagi melindungi perkara tidak diingini khususnya ketika ini di kala musim angin ribut dan banjir yang mulai berlaku.

“Tiada niat negatif pun, memang kita anjurkan bagi mempelawa penduduk daerah untuk sertai solat sunat hajat di masjid ini.

“Dalam masa sama, ia juga sebagai aktiviti kerohanian buat penduduk beragama Islam,” katanya.

Mahadon berkata, program-program berbentuk kerohanian sememangnya telah dilaksanakan sejak dahulu dalam tempoh sekali sebulan secara bergilir-gilir di semua masjid di daerah ini.

“Sebagai contoh, Disember kita adakan tahlil bulanan di Masjid Serom, maka Januari pula kita laksanakan Qiyamullail di Masjid Jamek Bukit Gambir dan begitulah seterusnya setiap bulan.

“Solat sunat hajat ini adalah kaedah terbaru dan jika dapat respon memberangsangkan,  kita akan teruskan. Kalau benda baik, tak salah kita amalkan,” katanya.