PONTIAN – Kerajaan Johor tidak menolak kemungkinan menggunakan semula tapak pelupusan sampah berkeluasan kira-kira 25 ekar di Kampung Air Putih Pekan Nanas berikutan masih belum menemui tapak pelupusan yang sesuai di daerah ini.

Exco Kerajaan Tempatan Sains dan Teknologi, Tan Hong Ping berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa kertas cadangan sebelum kajian dilakukan bagi penggunaan semula tapak pelupusan yang pernah terbakar pada akhir tahun lepas itu.

Katanya, biarpun terdapat cadangan lain termasuk pembinaan pusat pengumpulan sampah (transfer station)  namun ia dirasakan masih belum sesuai kerana  memerlukan perbelanjaan yang tinggi dari segi kos pengangkutan.

“Saya sedang kaji kertas cadangan untuk menggunakan semula tapak pelupusan di Kampung Air Putih Pekan Nanas tetapi kajian juga perlu dibuat terlebih dahulu.

“Kita perlu mencari jalan penyelesaian berhubung tapak pelupusan sampah sebab sampah dari Pontian dihantar ke luar daerah iaitu di Seelong,”katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sesi Town Hall Penguatkuasaan Penggunaan Bioplastik dan Pembungkusan Biorosot dan Biokompos di Dewan Jubli Intan Pontian.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Nor Syazlan Abd Razak, Pegawai Daerah Pontian, Mohd Shukri Mohd Masbah dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Tun Hussein Onn, Dr Ruzairi Abdul Rahim.

Justeru itu, Hong Ping berharap agar masyarakat  mengamalkan kitar semula bagi mengurangkan jumlah sampah yang dibuang di tapak pelupusan.

Dalam pada itu, Hong Pin berkata, sebanyak RM880 juta setahun dibelanjakan bagi pengurusan sampah dan sisa pepejal di negeri ini.

Berdasarkan statistik, menurutnya, sebanyak 1,800 tan sampah dibuang setiap hari melibatkan kira-kira 20 peratus atau 360 tan bahan buangan daripada plastik.

“Langkah proaktif untuk atasi isu sisa pepejal perlu dilakukan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan  dan seterusnya mewujudkan persekitaran lebih bersih.

“Penggunaan bahan bioplastik dan pembungkusan biorsot dapat menjadi pemangkin ke arah satu gaya hidup masyarakat yang lebih mesra alam,”katanya.