TANGKAK - Melangkah masuk ke rumah sebuah keluarga yang terletak di Tanjung Agas di sini, pastinya menarik perhatian sesiapa sahaja tatkala teruja melihat ribuan barang lama dan antik gah menghiasi ruang.

Malah, ratusan jenis perhiasan itu kekal dijaga rapi sekali gus menyerikan setiap sudut sehingga ia dirasakan seperti berada dalam muzium.

Pemiliknya, Mohd Kamal Mohd Kassim, 54, berkata, disebabkan minat mendalam terhadap barang klasik, dia tidak menyangka berjaya mengumpul sehingga kira-kira 10,000 barang lama di kediamannya.

Minat tercetus sejak 2013

Katanya, setiap jenis perhiasan itu tidak mempunyai jumlah tertentu dan kebanyakannya ditemui dalam jualan barangan antik secara terbuka.

“Saya tak letak sasaran setiap barang lama ni kena ada berapa unit. Saya akan beli sahaja bila terjumpa di jualan terbuka di serata negeri atau jika ada individu yang nak jual.

“Sehingga kini, barang paling banyak dikumpul semestinya syiling lama selain botol kaca dan tin minuman. Kalau nak kira jumlah memang agak sukar sebab tak pernah kira semua sekali ada berapa, tapi yang pastinya mungkin dah ratusan jenis barangan lama saya perolehi termasuk radio, lampu minyak tanah, seterika dan pelbagai lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Kamal, meskipun mula berjinak-jinak dalam hobi itu sejak beberapa tahun lalu, namun dia gembira apabila akhirnya berjaya memperoleh pelbagai jenis barangan antik dalam tempoh singkat.

“Saya mula terjebak dalam hobi ini sejak 2013 selepas diperkenalkan oleh seorang kawan yang menunjukkan beraneka syiling lama kepada saya. Lantaran tertarik dengan rekaan yang dah tak ada lagi masa kini, saya tanya bagaimana kalau saya nak perolehnya.

“Dia lantas memaklumkan cara nak membeli, sumber mana saya boleh dapatkan dan bermula daripada situ, saya mulai kumpul syiling lama sebelum lama kelamaan minat ini turut beralih kepada barang-barang lain,” katanya.

Sehingga kini, meskipun ada barangan yang telah dimakan usia berdekad lamanya, tetapi terdapat juga sebahagian perhiasan yang masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan.

Dibantu isteri, anak

Dalam pada itu, Mohd Kamal yang juga kakitangan di pejabat Perkeso Muar mengakui minat yang turut disokong isteri dan tiga anak lelakinya telah menyebabkan dia berjaya mengumpul barangan itu dalam jumlah banyak.

“Saya bersyukur sebab minat ini turut mengalir dalam jiwa keluarga saya. Jika sebelum ini, hanya saya sahaja yang cintakan barang antik, isteri dan anak-anak kemudian mula menunjukkan sokongan apabila turut sama membantu mencari perhiasan yang masih belum wujud di rumah.

“Kalau pergi jualan lelong barangan antik ini, mereka semua pasti akan ikut walaupun jauh. Bayangkan dalam minggu tu jika kami dah ke Memory Lane, Ipoh, Perak, selang beberapa hari kemudian saya pergi pula ke jualan ekspo di Pulau Pinang, anak dan isteri pasti akan sertai,” katanya.

Lambakan barang antik disusun rapi sebagai penghias kediaman.

 

Ujarnya, kesemua anaknya berusia antara 28 hingga 21 tahun turut memainkan peranan apabila membantu mencari sesebuah barang itu pada harga berpatutan selain sama-sama menyumbang idea untuk meletakkan perhiasan di suatu sudut rumahnya yang bersesuaian.

Katanya, setakat ini, beliau percaya botol kaca minuman dihasilkan sebuah kilang di Muar ketika dahulu adalah antara barang paling lama yang dimilikinya apabila telah berusia lebih 50 tahun.

Berhabis ribuan ringgit

Kini, setelah hampir lima tahun menjadi peminat dan pengumpul tegar barang antik, Mohd Kamal mengakui telah berhabis sehingga RM60,000 demi memiliki semua perhiasan unik itu.

“Saya tak kisah berbelanja demi minat yang mendalam ini. Malah, berbangga sebab percaya tindakan ini secara tak langsung dapat bantu kekalkan barangan berunsur klasik. Rasa sayang sekiranya ia tidak dipelihara sebab suatu hari nanti apabila generasi berubah, pastinya barang ini akan pupus. Jadi, bila kita simpan sekurang-kurangnya kita dapat tunjukkan kepada cucu-cicit tentang keperluan barangan itu.

“Dan saya akui berpuas hati dengan apa yang saya lakukan ketika ini kerana meskipun ia memerlukan perbelanjaan yang agak banyak, namun bila melihatkan semula perhiasan yang dikumpul, ia dapat mengimbas memori zaman kanak-kanak saya. Apabila duduk termenung di hadapan barangan ini, kita pasti akan ingat kenangan lama masa kita kecil” ujarnya.

Tambah Mohd Kamal, kini dia merancang membina stor di laman rumahnya bagi mengumpulkan kesemua barangan antik di situ selain bercadang untuk dipertontonkan kepada orang ramai khususnya saudara mara dan jiran tetangga.

Katanya, sehingga kini semua barangan yang dibeli tidak pernah dijual semula lantaran terlalu sayangkan nilai sejarah yang terdapat dalam barang tersebut.