JOHOR BAHRU -  Polis percaya berjaya menumpaskan sebuah kumpulan ragut dan curi motosikal dengan tertangkapnya lapan lelaki di dua lokasi berasingan pada 9 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pada pukul 4 pagi, seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal ditahan di Kampung Dato Suleiman Menteri kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Hasil siasatan ke atas lelaki berkenaan, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Bendahara dan menahan tujuh lelaki serta merampas tiga motosikal dan beberapa paket mengandungi dipercayai dadah pelbagai jenis.

“Kita turut menjumpai satu paket lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dan dua paket lagi mengandungi dadah jenis pil eramin.

“Semakan yang dibuat ke atas motosikal terbabit juga mendapati salah sebuah daripadanya dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.

Katanya, seorang suspek akan dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, seorang lagi di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(3) akta yang sama dan seorang lagi kerana ‘mengganggu’ nombor casis dan enjin motosikal.

Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an masih ditahan reman sehingga 23 Mei ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEPANG - Adik-beradik dicekup selepas melakukan jenayah ragut di kawasan parkir Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.
  • IPOH - Polis berjaya menumpaskan Geng Anuar yang dipercayai menyamun seorang warga emas dan melarikan jam tangan jenama Omega bernilai RM34,200, dua minggu lalu.
  • LANGKAWI - Kes kecurian motosikal di Langkawi mungkin hanya tinggal sejarah jika semua pemilik kenderaan itu mengguna pakai sistem kod bar antikecurian, inovasi ciptaan polis Langkawi.
  • ALOR SETAR - Seorang suami tergamak meragut beg tangan isteri sendiri demi mendapatkan wang untuk membeli dadah di kawasan Pasar Sungai Petani, dekat sini, pagi tadi.
  • GURUN - Dua beradik perempuan berusia 26 dan 24 tahun cedera akibat diragut di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya dekat sini pada jam 8.20 malam tadi.