JOHOR BAHRU - Hanya kerana menegur dua lelaki memasang lagu dan muzik kuat daripada pembesar suara kereta, seorang remaja parah diserang sekumpulan lelaki  di Flat Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, dekat Pasir Gudang, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Jokhiri Abd Aziz berkata,, mangsa yang berusia 17 tahun itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail, di sini dan masih ditahan wad serta di bawah pengawasan rapi kerana mengalami kecederaan parah di bahagian belakang badan dan kepalanya.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 2.05 pagi itu, mangsa berada di bahagian bawah perumahan tersebut didatangi oleh 15 lelaki yang bersenjata parang dan pisau yang menyerangnya.

“Kejadian berpunca daripada mangsa menegur dan menasihati dua suspek yang memasang lagu dan muzik dengan kuat menggunakan pembesar suara kereta mereka yang diparkir di kawasan perumahan itu, hingga berlaku pertengkaran serta pergaduhan kecil di antara mereka.

“Kemudiannya datang sekumpulan suspek lain iaitu merupakan rakan kepada suspek menaiki sebuah kereta dan beberapa motorsikal.

“Mereka mengerumuni mangsa dan terdapat beberapa suspek yang membawa senjata parang dan pisau telah menyerang mangsa yang hanya seorang diri. Kesemua suspek dipercayai bukan merupakan penghuni di kawasan perumahan tersebut,” katanya.

Jokhiri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan senjata.

“Sehingga kini, belum ada sebarang tangkapan dibuat dan polis sedang giat memburu kesemua suspek yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar dapat tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh juga menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana Balai Polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis Ibu Pejabat Daerah Seri Alam di talian 07-3864222,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Akibat menyerang dengan menetak musuh hingga putus saraf tangan kiri, seorang remaja dihukum jel 12 tahun dan tiga sebatan di mahkamah sesyen, di sini, hari ini.
  • KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah dalam kes tetak melibatkan seorang pemandu kereta Honda City, 7 Julai tahun lalu.
  • KAMPUNG RAJA - Dua suspek utama dipercayai terlibat menetak sehingga mati seorang pemuda, Nik Mohamad Sharulanuar Nek Der, 22, pada 21 Jun lalu di Kampung Pengkalan Nyireh dekat sini, akhirnya ditahan selepas lebih sebulan diburu polis.
  • KUALA KRAI - Gara-gara menyuarakan hasrat untuk kahwin lagi seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan ditetak isterinya dalam kejadian Khamis lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.