SEGAMAT - Tahap kesedaran dalam kalangan pekerja serta waris berkaitan faedah Perkeso masih rendah dan ini menyebabkan pencarum atau waris tidak membuat tuntutan selepas berlaku kemalangan atau kematian.

Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, Perkeso adalah sebuah organisasi yang membawa banyak manfaat kepada pekerja kerana mempunyai pelbagai faedah seperti Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.

“Kebaikan Perkeso yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya akan menyebabkan kerugian kepada pencarum atau waris mereka yang mungkin memerlukan bantuan tersebut. Saya harap Perkeso mengadakan lebih banyak program kesedaran.

“Seperti program hari ini (semalam), Perkeso dekati pemimpin masyarakat dan beri pendedahan kepada mereka apa yang harus dilakukan sekiranya berdepan dengan situasi melibatkan tuntutan dengan Perkeso,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Seminar Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat Peringkat Perkeso Segamat di Hotel Villa, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Perkeso Segamat, Roslinda Juanis; Penghulu Kanan Daerah Segamat, Mohmad Rasul Ab Samad dan Penghulu Mukim Daerah Segamat.

Menurutnya, pemimpin masyarakat seperti ketua kampung yang dianggap ‘duta kecil’ Perkeso juga tidak seharusnya menunggu aduan untuk bertindak, sebaliknya mengambil tahu mengenai perkembangan anak buah melalui pendekatan turun padang.

“Majikan tempat kerja lebih bertanggungjawab kepada perkara berkaitan kemalangan di tempat kerja dan pemimpin masyarakat boleh bantu berkaitan pencen ilat yang merangkumi pencen penakat.

“Ini kerana, ada di antara mereka yang layak menerima pembayaran tapi tak tahu bagaimana untuk menyalurkan permasalahan mereka. Saya harap objektif program ini untuk bantu mereka yang memerlukan berjaya.

“Jika pencarum meninggal dunia, waris mereka akan terima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) serta Pencen Penakat, dan sekiranya tidak boleh bekerja atau hidap penyakit kronik, pencarum akan terima Pencen Ilat tertakluk kepada syarat serta kelayakan di bawah akta”, katanya.

Sementara itu, Roslinda berkata, sehingga Jun 2017, pihaknya telah menyelesaikan 875 kes melibatkan pencarum Perkeso di daerah ini dengan jumlah pembayaran sebanyak RM2.36 juta.

Pada masa sama, pihaknya turut giat melakukan promosi terhadap pemandu teksi di daerah ini untuk melakukan caruman di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) yang dilancarkan pada 1 Jun lalu.

“Sehingga kini, terdapat 21 pemandu teksi di daerah ini yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta Lembaga Pelesenan Perdagangan (LPKP) telah mendaftar dan mencarum di bawah SPS ini.

“Kami harap lebih ramai pemandu teksi yang tampil mencarum di bawah skim ini bagi mewujudkan keselamatan jaringan sosial, selain menjamin kesinambungan hidup jika berlaku kemalangan atau kematian,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Kehilangan isteri yang maut akibat ditikam penyamun ketika rumah mereka dipecah masuk pada 29 Sept lepas cukup memberi kesan kepada Mohd Nasrul Mansor serta tiga orang anaknya.
  • BANDARAYA MELAKA - Masih ramai kalangan pemandu Uber dan GrabCar yang keliru untuk mendaftar Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
  • BANDARAYA MELAKA - Seorang pemandu teksi di Melaka, tidak menyangka keterbukaan hatinya untuk mendaftar Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Perkeso setelah terdengar perbualan di kedai kopi akhirnya membawa faedah besar buatnya setelah dia ditimpa kemalangan tidak sampai sebulan membuat caruman.
  • KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri Terengganu akan memperluas liputan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) terutama membabitkan pemandu teksi, Grab Car dan Uber.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.