PONTIAN - Selepas berjaya menjalani pembedahan pemindahan hati di China pada 2 Mei lalu, keluarga Siti Nur Aaira Mohd Mamdoh, 11 bulan bersyukur dan tidak menyangka dapat menyambut Syawal bersama puteri bongsu mereka.

Sebelum ini Aaira yang menghidap penyakit fungsi kegagalan hati (billary atresia) sejak dilahirkan kerap menangis dan kurang tidur selain perlu bergantung kepada susu formula khas sebagai sumber makanannya.

Ibunya, Siti Zubaidah Abd Jalil, 41, berkata, dia lega Aaira kembali pulih seperti sedia kala selepas menerima 30 peratus hatinya melalui pembedahan oleh sepasukan doktor pakar di Hospital Renji Shanghai China.

Menurutnya, mereka sekeluarga bersyukur kerana Aaira kini mampu menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak seusia dengannya.

“Tiada kata mampu diluahkan bagi menggambarkan perasaan kami sekeluarga melihat Aaira kini mampu tersenyum dan bergerak aktif.

“Saya masih ingat keadaan Aaira sebelum menjalani pembedahan pemindahan hati, dia kerap menangis dan merengek.

“Bila doktor beritahu Aaira perlu jalani pembedahan hati di China dengan kos sangat tinggi, kami tidak terfikir mampu mengumpulkan wang sebanyak itu. Namun berkat doa rakyat Malaysia yang prihatin akhirnya wang sebanyak RM250,000 dapat dikumpul,” katanya.

Kisah Siti Nur Aaira yang perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di China tular di media sosial dan dapat liputan media cetak dan elektronik termasuk Sinar Harian, sejak Februari lalu.

Hasil bantuan rakyat Malaysia yang prihatin wang sebanyak RM250,000 bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati Aaira dapat dikumpulkan.

Mudah tersenyum

Senyuman tidak lekang dari wajah Aaira memberi gambaran keadaannya kini semakin sihat.

Siti Zubaidah berkata, dia bersyukur kerana dapat menjadi penderma hati kepada Aaira yang merupakan anak bongsu dari lima beradik itu.

“Pembedahan hati Aaira merupakan ikhtiar untuk menyelamat nyawa Aaira. Saya yakin sesiapa sahaja bergelar ibu pasti tidak teragak-agak mendermakan hati demi melihat anak kembali sihat.

“Biarpun banyak ujian dan saringan kesihatan dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum ini, akhirnya saya diberi peluang untuk mendermakan sebahagian hati buat Aaira,” katanya.

Melihat senyuman di wajah Aaira sudah cukup menggembirakan Siti Zubaidah dan suaminya, Mohd Mamdoh@Ridzuan Isa, 45, yang sebelum ini mengharungi pelbagai ujian demi memastikan pembedahan hati di China dapat direalisasikan.

“Kami ke China pada 26 April lepas. Kami berada di sana selama 28 hari dan pulang ke Malaysia pada 23 Mei lepas. Kemudian Aaira mendapatkan rawatan susulan di Pusat Perubatan  Universiti Malaya (PPUM).

“Kini kami berada di rumah di Kampung Sungai Kuali, Serkat. Keadaan Aaira makin baik, namun kami sekeluarga tetap mengawasi keadaan kesihatannya sementara menunggu hati barunya tumbuh.

“Begitu juga dengan saya sebagai penderma hati kepada Aaira. Saya juga diminta menjaga pemakanan dan tidak melakukan kerja-kerja berat,” katanya.

Siti Zubaidah yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas  mengambil cuti separuh gaji selama tiga bulan bagi menjaga Aaira.

Aaira begitu ceria bersama baju raya baharunya selepas berjaya menjalani pembedahan hati di China.

Hati Aaira rosak sebesar dulang

Menceritakan detik sebelum pembedahan dijalankan, Siti Zubaidah mengakui dia cukup gementar namun perasaan itu diketepikan demi melihat Aaira sihat.

Katanya, selain berpuasa dia juga perlu menjalani pelbagai pemeriksaan kesihatan bagi memastikan hatinya sesuai didermakan untuk Aaira.

“Selepas pemindahan hati berjaya dilakukan, Aaira tidak boleh ditemui oleh ahli keluarga selama enam hari kerana ditempatkan wad  khas dengan diberikan perhatian pada tahap tinggi.

“Dua hari selepas pembedahan, Aaira menunjukkan perubahan di mana perutnya tidak lagi membengkak dan bacaan kuning turun mendadak. Kemudian Aaira ditempatkan pula di wad lain selama tiga minggu,” katanya.

Jelasnya, setiap detik pembedahan dirakam dan bentuk gambar dan video oleh pasukan doktor di sana.

“Saya terkejut melihat hati Aaira yang rosak sebesar dulang. Alhamdulillah, pembedahan pemindahan hati telah berjaya,” katanya.

Jalani pemeriksaan berkala di PPUM

Siti Zubaidah berkata, Aaira masih perlu menjalani pemeriksaan di PPUM bagi memastikan hatinya dalam keadaan kesihatan yang baik.

Meskipun terpaksa mengharungi perjalanan agak jauh dari Kampung Sungai Kuali, Serkat Pontian ke Kuala Lumpur, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat Siti Zubaidah.

“Pemeriksaan di PPUM buat masa ini perlu dilakukan sekali dalam tempoh dua minggu. Doktor akan mengambil darah Aaira untuk mengetahui keadaan hati Aaira.

“Ia sangat penting bagi memastikan hati baharu yang diterima Aaira benar-benar berfungsi dan Aaira dalam keadaan sihat,” katanya.

Jelasnya lagi,selera makan Aaira bertambah menyebabkan berat badannya naik dan kelihatan lebih berisi.

Aaira kelihatan lebih sihat

Sambutan Aidilfitri

Bercerita tentang sambutan Aidilfitri, Siti Zubaidah berkata, ibu mana yang tidak gembira menyambut lebaran bersama anak-anak lebih-lebih lagi selepas mengharungi pelbagai dugaan hampir setahun mengubati Aaira.

“Alhamdulillah sambutan tahun ini lebih meriah. Ini kerana beberapa bulan sebelum pembedahan kami sekeluarga berusaha dengan gigih tanpa mengenal putus asa demi memastikan Aaira sihat.

“Hospital sudah diibaratkan sebagai rumah kedua saya dan suami. Kami kerap berulang-alik ke hospital di Johor Bahru dan PPUM,” katanya.

Tambahnya lagi, Aidilfitri tahun  ini mereka sekeluarga menarik nafas lega melihat perubahan Aaira.

“Cuma sekarang kena pantau kesihatan Aaira betul-betul dan berikan dia ubat seperti diminta oleh doktor.

“Aaira suka makan burasak, itulah kegemaran dia pada pagi Hari Raya. Maklumlah gigi sudah tumbuh enam batang, suka tengok dia makan. Sekeping boleh dihabiskan,” katanya sambil ketawa.