JOHOR BAHRU - Dua tapak pelupusan di negeri ini akan dinaik taraf daripada tapak pelupusan sanitari kepada tapak pelupusan bersepadu yang merangkumkan sistem serta kemudahan berteknologi terkini.

Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin berkata, sistem dan teknologi terkini itu berkonsepkan waste to energy (WTE), pyrolisis dan anaerobic digester (AD).

“Bagi memenuhi keperluan semasa serta menghindarkan Johor daripada krisis sisa pepejal, teknologi tersebut akan dilaksanakan di Tapak Pelupusan Sanitari (TPS) Seelong dan Tapak Pelupusan Tanjung Langsat,” katanya pada Sidang Dun Johor ke-14, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ng Yak Howe (PH-Bentayan) mengenai rancangan kerajaan dalam menambah baik pengurusan sisa pepejal di negeri ini dengan memanfaatkan teknologi terkini.

Hong Pin (PH-Skudai) berkata, kerajaan negeri berpendirian teknologi tersebut efektif kerana mampu melupus sampah dan memprosesnya menjadi tenaga.

“Dua pendekatan iaitu pelupusan sampah dan penghasilan tenaga tersebut digabungkan dan hasilnya dijual dan digunakan untuk menjana industri serta memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Selain itu, katanya, konsep WTE merupakan sistem pelupusan sisa pepejal yang mampan dan mampu jana pendapatan malah kurangkan beban kewangan  kerajaan negeri.

“Pelaksanaan konsep ini bersifat jangka panjang dalam mengatasi isu kritikal di tapak-tapak pelupusan sedia ada seperti pencemaran air larut resap, pencemaran bau, kebakaran akibat cuaca, rungutan awam dan kesihatan masyarakat setempat,” katanya.