JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Dua lelaki maut apabila kereta yang dinaiki dilanggar sebuah lori di Jalan Simpang Gunung Pulai, Batu 4, Pekan Nenas di sini, petang tadi.

Mangsa, Soh Lip Soon, 60 dan penumpang seorang lelaki warga Bangladesh, Late Abdul Rafiq Imam Sharif, 50 meninggal dunia dalam keadaan terperosok dalam kenderaan terbabit.

Ketua Balai Bomba Pekan Nenas, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.17 petang sebelum lapan  anggota termasuk lima dari Balai Bomba Pontian Batu bergegas ke tempat kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku disebabkan lori yang membawa muatan batu dan pasir itu mengalami kerosakan brek ketika turun melalui jalan dari Gunung Pulai.

Kereta dinaiki mangsa terperosok di bawah lori

“Kerosakan itu kemudian menyebabkan pemandu lori tersebut tidak dapat mengawal kenderaan lalu melanggar kereta jenis Toyota GL Wagon dipandu Lip Soon,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.

Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.