JOHOR BAHRU - Seramai 291 kanak-kanak Tadika Little Caliph Zon Johor mengikuti program Simulasi Little Hajj 2018 serentak di seluruh negara, semalam.

Pengerusi Program Little Hajj Zon Johor, Mohd Ghazali Samian berkata, program melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun itu kali keempat diadakan di negeri ini.

“Program ini memberi gambaran praktikal jelas kepada kanak-kanak seiring kaedah pembelajaran secara simulasi.

“Ia secara tidak langsung kanak-kanak dapat memahami secara mendalam pelaksanaan menunaikan haji di Makkah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program anjuran Little Caliphs International Sdn Bhd di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini, semalam.

Mohd Ghazali berkata, program juga bertepatan pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang dilaksanakan dalam metodologi program The Little Caliphs.

“Seramai 36 guru dari 14 Tadika Little Caliphs terbabit sebagai tenaga Mutawwif dan juga sukarela bantu melaksanakan program, di samping beri pendedahan awal kepada peserta mengenai ibadah haji.

“Semua peserta memakai pakaian ihram, malah bagi menyemarakkan suasana, turut disediakan kelengkapan termasuk replika Kaabah, kaunter imigresen, tempat wukuf, mengutip batu dan melontar jamrah, Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahallul,” katanya.

Beliau berkata, peserta didedahkan keadaan sebenar sebelum dan semasa mengerjakan haji bagi memastikan mereka memahami konsep sebenar Rukun Islam ke-5 itu.

“Jika sebelum ini kebanyakan kanak-kanak hanya hantar ahli keluarga mereka ke kompleks tabung haji, namun hakikatnya tidak ramai tahu konsep, motif dan cara sebenar mengerjakan haji,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Raziq Hadi Yusri dari cawangan Little Caliph Scientex berkata, dia sangat teruja ikuti program berkenaan kerana berpeluang memperoleh pengalaman yang menarik.