ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Persekutuan dicadang supaya membina penempatan khas untuk pelarian Rohingya di negara ini.

Adun Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat berkata, cadangan itu untuk bendung gejala negatif dalam kalangan mereka daripada menular di Malaysia.

"Mereka ini tinggal di kawasan kediaman rakyat tempatan seperti perkampungan Melayu. Mereka ini berstatus pelarian di Malaysia tetapi bebas bergerak ke mana saja yang mereka mahu dan ada juga yang membuat perkara-perkara yang melanggar undang-undang," katanya.

Beliau ditemui selepas Mesyuarat Keempat Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, di sini, semalam.

Beliau berkata, sudah terdapat beberapa kes jenayah dilaporkan babit pelarian Rohingya di negara ini, termasuklah edar dadah dan bunuh.

Katanya, terdapat juga dakwaan sindiket Rohingya menawarkan dokumen peribadi palsu seperti pasport, kad pengenalan serta kad UNCHR.

"Saya sendiri pernah melihat seorang anak muda Rohingya tunggang motosikal dengan laju tak pakai topi keledar.

"Saya cadangkan agar kerajaan wujudkan satu penempatan yang dilengkapi segala kemudahan seperti sekolah, klinik kesihatan dan kedai menjual barangan harian untuk pelarian Rohingya ini termasuklah surau bertaraf masjid untuk membolehkan mereka menunaikan solat Jumaat," katanya.

Menurutnya, kebebasan masyarakat Rohingya di negara ini harus disekat bagi membendung kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Selain itu, katanya, turut dicadangkan satu program pendaftaran dilakukan bagi memastikan identiti dan status kesihatan kumpulan itu boleh dijejaki dari masa ke semasa.

"Dengan adanya pendatang asing yang sedia ramai dan akhirnya akan bermastautin tetap di sini sama ada secara halal atau haram.

"Kita tak mahu penambahan pelarian Rohingya pula turut menjadi penyebab mengapa orang Melayu, Cina dan India hilang identiti kelak," katanya.

Katanya, perkara itu tak mustahil jika mereka dibenar kahwin dengan orang tempatan.