JOHOR BAHRU - Beberapa projek mega dijangka akan dilaksanakan di negeri ini, pada masa akan datang.

Antaranya pembinaan lapangan terbang dan pembangunan bandar di Mersing serta jambatan bengkok bagi mengatasi kesesakan Tambak Johor.

Selain itu, penambah baikan Segamat Inland Port, sistem jalan raya menghubungkan Johor dan Pahang (dekat Segamat) serta penternakan lembu di utara negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, pembinaan lapangan terbang di Mersing itu, di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Ini kita buat baru dan masa perbincangan dengan perdana menteri, beliau pun setuju.

"ECER akan mainkan peranan di samping juga di bawah kelolaan kerajaan negeri. Cuma kita kena kenal pasti tempatnya dekat mana," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Konvensyen Ahli Majlis PBT Johor 2018/19 di Persada Johor di sini hari ini.

Osman berkata, kerajaan negeri masih belum mengetahui kos untuk membina lapangan terbang baharu itu.

"Tapi kita suruh perunding untuk membuat satu penilaian. Mungkin lepas itu kita tahu berapa kos dia.

"Lapangan terbang ini bukan untuk Boeing. Setakat macam tambang murah, dan fokker," katanya.

Beliau berkata, lapangan terbang itu dipertimbangkan sebagai antarabangsa dengan jangkaan penerbangan daripada Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Kita juga akan menjadikan hab baik pulih (kapal terbang) selain daripada kita gunakan untuk pelancongan dan sebagainya.

"Hujung tahun ini, pelan pembangunan Mersing sudah tamat tempoh. Jadi kita masukkan perancangan itu di dalam pelan pembangunan baru daerah Mersing," katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memindahkan pusat pentadbiran Mersing ke lokasi baharu yang berdekatan selain membangunkan bandar Mersing.

Mengulas mengenai jambatan bengkok, Osman berkata, pembinaan semula infrastruktur itu akan dilaksanakan.

"Dan mungkin bengkok, mungkin tak bengkok. Belum muktamad lagi, tapi mungkin kita akan laksanakan

"Ini bukan satu perkara yang untuk 'Glamour', tapi mungkin menjadi realiti," katanya.