SEGAMAT - Kerajaan Negeri Johor belum menerima permohonan maaf secara rasmi daripada portal berita Singapura, The Independent SG berhubung kontroversi kematian warganegaranya yang didakwa akibat kecuaian pihak Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, walaupun portal tersebut telah memuat naik permohonan maaf dan memadam berita berkenaan, tindakan itu dianggap tidak mempunyai adab dan tatasusila.

“Ini lebih kepada penghinaan kepada kita khususnya warga Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kerana mereka (portal) telah memfitnah kita dengan teruk sebelum ini dan kemudiannya meminta maaf secara atas talian sahaja.

“Sehingga kini tiada wakil portal tersebut menghubungi saya, pihak hospital atau wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meminta maaf dan bagi saya portal ini tidak mematuhi etika kewartawanan,” katanya.

Ayub berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Duit Makan Kepada Calon Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Dun Kemelah di Restoran RZ, di sini, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hantar surat tidak puas hati kepada Singapura]

Menurutnya, walaupun permohonan maaf itu diterima oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, ianya secara peribadi telah mengguris hati kakitangan HSAJB dan rakyat Malaysia yang mahu melihat portal tersebut dikenakan tindakan tegas.

“Kalau dilihat komen-komen masyarakat di media sosial, lebih daripada 90 peratus bersama dengan gesaan saya yang mahu KKM mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita ini kerana fitnah yang dilemparkan agak keterlaluan.

“Bagaimanapun, terpulang kepada menteri kerana kes ini melibatkan dua negara dan berharap KKM dapat melihat semula keputusan yang dibuat kerana terlalu mudah kita menerima permohonan maaf tersebut,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap kerajaan Singapura atau portal tersebut dapat memohon maaf dengan lebih ikhlas iaitu memberi kenyataan rasmi secara bertulis dalam masa terdekat terhadap rakyat Malaysia dan pihak HSAJB.

Sebelum ini, artikel pada portal tersebut mendakwa kelewatan itu menjejaskan usaha untuk membawa mangsa berusia 25 tahun berkenaan mendapatkan rawatan di hospital pada kadar segera.

Laporan juga mendakwa pihak HSAJB turut menuntut sejumlah wang deposit daripada keluarga mangsa sebelum membenarkan sebarang rawatan dijalankan.      

Bagaimanapun, artikel tersebut telah dipadam dan digantikan dengan permohonan maaf oleh editor portal berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KULAI - Peniaga khususnya penjual makanan bersempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017 dilarang menggunakan polisterin.
  • JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menjunjung kasih di atas keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhubung titah keperluan pemantauan premis pendidikan dan premis-premis lain secara berkesan dibuat, di negeri ini.
  • JOHOR BAHRU - Gesaan Sultan Johor supaya sekolah berisiko tinggi kebakaran dikenal pasti akan dibangkitkan pada mesyuarat Exco pendidikan negeri bersama Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 25 September ini.
  • SEGAMAT - Cadangan Kementerian Pendidikan yang bercadang mewujudkan polisi bagi membenarkan pelajar membawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) perlu diperhalusi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.