PONTIAN- Hujan lebat berterusan melebihi empat jam sejak awal pagi tadi menyebabkan banjir kilat di Kampung Parit Pasir Pekan Nanas.

Pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) daerah Pontian, Mohd Hairol Ishak berkata seramai lapan anggota bergegas ke lokasi banjir sebaik menerima panggilan kira-kira jam 8.30 pagi.

“Sebanyak 12 rumah penduduk  dinaiki air sehingga paras buku lali. Keadaan banjir kilat beransur pulih menjelang tengah hari.

“Anggota APM dikerahkan membantu kerja-kerja pembersihan rumah penduduk yang terjejas,” katanya.

Menurut Hairol, anggota APM akan terus memantau kawasan yang berisiko dilanda banjir di daerah ini berikutan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Katanya , antara kawasan yang dipantau APM ialah di Kampung Parit Hassan Benut, Kampung Parit Pasir dan Kampung Paya Embun Pekan Nanas serta Kampung Sungai Durian Kukup.

Sementara itu, menurut sumber Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, tiada pusat penempatan sementara mangsa banjir yang dibuka di Kampung Parit Pasir Pekan Nanas, kerana air banjir sudah surut secara beransur-ansur menjelang tengah hari tadi.

Jelasnya, hujan lebat melebihi empat jam menyebabkan limpahan air dari  longkang konkrit ke kawasan rendah mengakibatkan 12 rumah penduduk terjejas dengan banjir kilat.

Bagaimanapun, air mula surut sepenuhnya di kawasan terlibat dan kerja pembersihan rumah yang dinaiki air sedang dijalankan oleh anggota APM dan penduduk.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERSING - Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup dan mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, jam 6 petang tadi.
  • JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah negeri ini turun mendadak kepada 289 orang daripada 68 keluarga setakat 3 petang ini berikutan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).
  • MIRI - Seramai 223 murid dari tiga sekolah rendah di Sarawak tidak dapat meneruskan sesi persekolahan pada pagi ini setelah banjir melanda berikutan hujan lebat sejak semalam.
  • JOHOR BAHRU - Angka mangsa banjir yang masih berada di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) negeri ini menurun sedikit pada pagi ini iaitu daripada 1,361 orang pada malam tadi kepada 1,360.
  • JOHOR BAHRU - Sebanyak 13 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di negeri ini, bagi menempatkan 373 keluarga dengan 1,365 mangsa banjir setakat jam 5 petang semalam.