JOHOR BAHRU - Bumbung 27 rumah di dua petempatan berhampiran Skudai, di sini, musnah dalam kejadian ribut, sebentar tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah Johor Bahru, Kapten (PA) Mohd Aziz Jupri berkata, kemusnahan itu membabitkan 12 rumah di Kampung Pouciling dan 15 rumah di Kampung Melayu Batu 10.

Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan yang dilaporkan ketika berlakunya kejadian kira-kira jam 7 petang tadi.

“Kesemua rumah ini mengalami kerosakan sepenuhnya di bahagian bumbung kerana ditiup angin kencang ketika kejadian tersebut.

“Namun, setakat ini tiada pusat pemindahan yang dibuka,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Aziz berkata, pihaknya kini sedang membuat kemas kini untuk mendapatkan jumlah sebenar keluarga yang terjejas di kawasan berkenaan bagi tindakan lanjut.