JOHOR BAHRU - Kira-kira 20 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sembrong Dun Kahang meluahkan rasa kecewa apabila keahlian mereka tidak didaftarkan oleh parti sejak 2013.

Wakil Angkatan Muda Keadilan Sembrong Dun Kahang, Mohd Syahrul Ikmal Abu Othman berkata, status tersebut diketahui selepas menyemak nama sebagai ahli AMK Sembrong Dun Kahang.

Bagaimanapun, beliau berkata, masalah tersebut telah dikemukakan kepada PKR cawangan Sembrong namun jawapan yang diterima tidak memuaskan hati mereka.

"Malam tadi kami telah hadiri mesyuarat di Bandar Taman Sri Lambak, Kluang, kami amat kecewa dan sedih kerana pengurusan di Sembrong amat lemah.

"Sejak 2013 saya dan Ketua Ranting saya telah serahkan dokumen keahlian itu kepada pihak Sembrong untuk berdaftar sebagai ahli," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Syahrul Ikmal berkata, sekiranya PKR Sembrong tidak mengambil berat dalam masalah

pendaftaran keahlian beliau percaya Pakatan Harapan di Sembrong tidak akan bertahan lama.

"Kami lakukan ini untuk meluahkan perasaan dan ingin memberitahu pada mereka yang ada jawatan tertinggi harap ambil penting dalam hal keahlian.

"Kami anak muda Dun Kahang tidak boleh di dipergunakan dan kami sangat sayangkan perjuangan yang telah di bawa oleh Datuk Sri Anwar Ibrahim," katanya.

Justeru itu, beliau berharap pucuk pimpinan di Sembrong dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, jujur dan amanah.

"Kami anak muda AMK inginkan perubahan di Sembrong dan berharap masalah pendaftaran ahli dapat diselesaikan segera," katanya.