JOHOR BAHRU – Sebanyak 11 koperasi dari kawasan Zon Selatan menerima durian runtuh berjumlah RM14 juta melalui peruntukan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di bawah skim Tabung Modal Pusingan (TMP).
 
Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusuf Samsudin berkata, peruntukan berkenaan merupakan suntikan modal kepada koperasi terpilih bagi memajukan perusahaan masing-masing selaras dengan hasrat kerajaan elaksanakan transformasi ekonomi.
 
“Skim ini merupakan salah satu bentuk bantuan yang disalurkan kepada pihak koperasi agar mereka dapat memajukan perniagaan masing-masing sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.
 
“Sebahagian daripadanya mendapat bantuan bagi pelaksanaan program TUKAR bagi mengubahsuai koperasi dan sebahagian lagi menerima bantuan pinjaman kredit untuk menambah modal pusingan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Co-op Fest 2012 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang di Plaza Angsana, baru-baru ini.
 
Salah seorang penerima, Pengerusi Koperasi Keluarga Haji Salleh, Paisal Salleh berkata, bantuan sebanyak RM113,000 yang diterima melalui skim TMP itu membolehkannya memajukan perniagaan koperasi yang iusahakan.
 
“Saya bersyukur kerana diberi peluang menerima bantuan melalui skim ini dan kami merancang untuk menukar peralatan koperasi yang telah rosak dan memperbaharui sistem yang diguna pakai.
 
“Saya yakin bantuan yang diterima ini dapat melancarkan lagi perkhidmatan kami sebagai ejen tunggal bagi membekalkan barang-barang kepada Coop 1 Malaysia di seluruh negeri Melaka,” katanya.
 
Dalam pada itu, penerima bantuan berjumlah RM2 juta, S.V Mariappan daripada Koperasi Anggota Kerajaan Negeri Sembilan Berhad, berkata, pihaknya bersyukur kerana terus mendapat sokongan SKM bagi kemajukan koperasi yang ditubuhkan sejak tahun 1923.
 
“Kami pernah mendapat bantuan pusingan modal sebanyak RM600,000, RM1 juta dan terbaru RM2 juta ini bagi meluaskan skop perniagaan koperasi antaranya dengan membeli bangunan dan menyewakannya selain memberi pinjaman kredit.
 
 “Dengan bantuan ini dapat memberi pulangan kepada ahli kami,” katanya.