SEGAMAT – Seramai 1,049 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 di Parlimen Sekijang boleh dianggap bertuah apabila menerima duit makan sepanjang peperiksaan berlangsung sumbangan Pejabat Adun Kemelah.

Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, sepanjang peperiksaan yang bermula dari 11 September hingga 14 September 2017 ini, setiap pelajar yang terlibat akan menerima duit makan sebanyak RM2 sehari.

“Ini bermakna setiap pelajar akan menerima RM8 untuk duit makan dan saya telah memperuntukkan sebanyak RM8,392 dan ini adalah inisiatif saya sendiri bagi memberi dorongan dan motivasi kepada mereka.

“Duit makan ini akan diserahkan kepada setiap guru besar di Parlimen Sekijang untuk dibayar kepada kantin sekolah masing-masing dan oleh itu para pelajar ini tidak perlu risau pasal pemakanan mereka sepanjang peperiksaan berlangsung,” katanya.

Ayub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Duit Makan Kepada Calon Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Sekijang di Restoran RZ, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau juga akan mempertimbangkan bantuan makanan yang sama kepada calon Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa akan datang dan ketika ini, tumpuan hanya diberikan kepada calon UPSR sahaja.

Pada masa sama, kerajaan negeri akan menyerahkan sebanyak 53,608 kad ucapan selamat menduduki UPSR kepada para calon dan ibu bapa bagi menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada kerajaan negeri.

“Pada hari ini (semalam), kita mengadakan simbolik pelancaran peringkat negeri dan di daerah Segamat sebanyak 2,897 kad telah diserahkan kepada setiap guru besar untuk diserahkan kepada calon-calon UPSR ini.

“Selepas ini saya akan mengerakkan jentera ke seluruh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini untuk mengedarkan kad ini dan kita berharap kad ucapan ini akan diterima calon sebelum peperiksaan bermula,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyasarkan seramai 45 calon UPSR di Dun Kemelah yang menerima tuisyen percuma sumbangan Yayasan Majlis Daerah Segamat (YMDS) bermula sejak awal tahun ini dapat mencatat keputusan 6A sekaligus menaikkan peratusan UPSR di daerah ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - “Walaupun tidak mencapai semua A dalam keputusan UPSR, saya sebagai bapa sudah cukup berbangga kerana ia adalah hasil usaha anak sulung saya sendiri. Saya hanya bagi sokongan,” kata seorang ahli perniagaan, Mohd Shahrul Azmi Sabuddin, 39.
  • KUALA TERENGGANU - Sekalipun tidak tinggal bersama kedua ibu bapanya sejak enam bulan lalu selepas ibunya berpindah ke Putrajaya, ia bukan halangan buat Tokoh Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 untuk merangkul 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
  • PENDANG - Anak sulong daripada empat adik beradik yang ibu bapanya merupakan seorang petani tidak menyangka akan memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
  • GONG BADAK - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan melaksanakan program khas untuk bantu murid yang kurang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
  • KUANTAN - Seorang murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor di sini yang kisahnya terpaksa dijemput guru untuk menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengaku pakaian seragam sekolah miliknya basah menyebabkan tidak hadir ke sekolah pagi, Isnin lalu.