PETRON Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) mengekalkan prestasinya pada suku kedua tahun ini dengan peningkatan penda­patan RM3.1 bilion, kenaikan 29 peratus dalam tempoh sama pada 2017.

Pengerusinya, Ramon S Ang berkata, penda­patan meningkat terse­but dikaitkan dengan jualan lebih kukuh dan harga minyak antarabangsa yang lebih tinggi.

"Jumlah jualan pada suku kedua 2018 meningkat lebih tujuh peratus kepada 9.1 juta tong berbanding suku sama pada 2017. Harga minyak mentah Dated Brent meningkat kepada purata harga AS$74/setong berbanding AS$50/setong dalam tempoh itu.

"Syarikat mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM92 juta, hampir sama dengan pendapatan RM91 juta dalam tempoh yang sama pada 2017.

"Walaupun keuntungan kasar meningkat 27 peratus kepada RM158 juta, pendapatan tetap sama disebabkan PMRMB mencatat keuntungan sekali sahaja ke atas pengambil­alihan kerajaan ke atas stesen minyak pada suku kedua 2017,” katanya.

Jelasnya, untuk separuh tahun pertama 2018, pendapatan cecah RM5.9 bilion berbanding 2017 iaitu RM5 bilion disebabkan jumlah jualan meningkat enam peratus kepada 17.8 juta tong.

"Pendapatan bersih lebih rendah pada RM165 juta berbanding RM200 juta dalam tempoh sama pada 2017 disebabkan margin penapisan yang lebih rendah kerana perbezaan harga di antara minyak mentah Brent dan produk mengecil dalam tempoh tersebut.

"Kita terus melihat per­mintaan tinggi dan keuta­maan pilihan produk dan perkhidmatan premium Petron dibuktikan melalui jumlah jualan yang lebih tinggi.

"Kami akan terus memperluaskan kehadiran penjenamaan kami dan ber­kembang maju dalam pasa­ran yang sangat kompetitif ini dengan meningkatkan mutu kece­merlangan," katanya.