Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Pada 6 petang Rabu, ringgit turun kepada 4.7390/7440 berbanding dolar AS daripada 4.7375/7400 ketika ditutup pada Selasa. Gambar hiasan
Pada 6 petang Rabu, ringgit turun kepada 4.7390/7440 berbanding dolar AS daripada 4.7375/7400 ketika ditutup pada Selasa. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu disebabkan kekurangan permintaan kerana Indeks Dolar Amerika Syarikat (DXY) terus mengukuh, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.7390/7440 berbanding dolar AS daripada 4.7375/7400 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, DXY bertambah kukuh hari ini sebanyak 0.19 peratus kepada 105.616 mata.

"Sehubungan itu, mata wang serantau lain seperti dolar Singapura, baht Thailand dan peso Filipina menyusut nilai berbanding dolar AS masing-masing sebanyak 0.13 peratus, 0.38 peratus dan 0.25 peratus. Dolar AS/ringgit turut susut nilai sebanyak 0.18 peratus kepada RM4.7472,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, sentimen kenaikan harga dolar AS masih belum reda walaupun laporan pekerjaan lebih lemah daripada jangkaan pada Jumaat lepas.

"Komen daripada pegawai-pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS yang pelbagai boleh menyebabkan pasaran pertukaran asing condong kepada pihak konservatif berhubung pendirian dasar monetari Fed yang membawa inflasi ke arah dua peratus,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes berkata, hasil Perbendaharaan AS meneruskan peningkatan selepas laporan pekerjaan AS yang kurang memberangsangkan pada bulan April, lazimnya ia adalah baik untuk ringgit.

Bagaimanapun, DXY telah stabil sekitar paras 105.

Artikel Berkaitan:

"Peniaga pertukaran mata wang asing sudah pun melihat ke hadapan kepada data inflasi minggu depan yang berpotensi membentuk pergerakan arah seterusnya dolar.

"Ini boleh mewujudkan pelbagai persekitaran perdagangan atau malah mencetuskan lebih banyak kelemahan bergantung pada FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang memacu aliran masuk modal hari ini untuk menyokong ringgit,” katanya.

Pada penutupan, ringgi diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.0495/0530 daripada 3.0646/0664 ketika ditutup pada Selasa, naik berbanding pound Britain kepada 5.9209/9272 daripada 5.9385/9416 sebelumnya dan melonjak berbanding euro kepada 5.0954/1007 daripada 5.0971/0998 sebelumnya.

Ringgit meningkat berbanding mata wang ASEAN kecuali rupiah Indonesia.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8188/8383 daripada 12.8332/8459 ketika ditutup pada Selasa, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4956/4996 daripada 3.4989/5010 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.26/8.27 daripada 8.27/8.28 sebelumnya.

Unit tempatan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 295.2/295.7 daripada 295.2/295.5 sebelumnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!