BNM dijangka kekal OPR tidak berubah sepanjang 2024 - Analisis

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KADAR dasar semalaman (OPR) pada kadar 3.0 peratus ketika ini, dijangka kekal tidak berubah sepanjang 2024, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) ketika ini dilihat memberi tumpuan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia menerusi dasar monetarinya.

"Prospek ekonomi domestik diunjurkan kekal dalam keadaan berwaspada dan berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

"Bagaimanapun, kami percaya penstabilan inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar mungkin mendorong BNM untuk mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024," kata MIDF Research dalam satu nota pada Khamis.

Ia berkata, walaupun perdagangan luar dijangka pulih, namun persekitaran global diunjurkan kekal mencabar pada 2024 disebabkan ketegangan geopolitik yang berterusan serta potensi penurunan pertumbuhan global.

Dalam nota penyelidikan berasingan, OCBC Bank (Malaysia) Bhd turut senada dengan sentimen itu, dengan menyatakan BNM akan mengekalkan dasar monetari semasa, dan menjangkakan pertumbuhan akan bertambah baik serta tekanan inflasi yang terkawal.

Bank itu berkata, BNM kekal yakin terhadap prospek pertumbuhan domestik, menjangkakan peningkatan dalam eksport, didorong oleh kitaran naik teknologi global dan pengukuhan yang mampan dalam sektor barangan bukan elektrik dan elektronik.

Antara faktor yang mendorong pertumbuhan domestik seperti perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan, dipacu oleh projek berbilang tahun dalam kedua-dua sektor swasta dan awam, ditambah dengan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar kami untuk 2024 berada pada 4.2 peratus, berbanding 3.7 peratus pada 2023, iaitu masih dalam julat unjuran BNM pada empat hingga lima peratus," kata bank itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!