MSIG Insurance (Malaysia) Bhd kini memberi kemudahan untuk pelanggan insurans perjalanannya mendapat bayaran balik premium insurans jika mereka membatalkan perjalanan berikutan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan.

“Pelanggan yang memutuskan untuk membatalkan rancangan perjalanan kerana pertindihan tarikh pengundian 9 Mei dengan waktu perjalanan mereka adalah layak untuk mendapat bayaran balik penuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, MSIG turut memberi pilihan kepada pelanggan untuk meminda tarikh perjalanan mereka tanpa dikenakan sebarang premium tambahan jika ditunda ke tarikh baharu dalam tempoh 90 hari dari tarikh asal.

Bagaimanapun, premium tambahan akan dikenakan sekiranya pelanggan melanjutkan tempoh perjalanan atau mengubah destinasi asal mereka.

Pelanggan yang berhasrat membuat sebarang pindaan boleh menghubungi penasihat insurans mereka atau menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan MSIG di myMSIG@my.msig-asia.com sebelum 7 Mei 2018.