AIRASIA Bhd hari ini mengkritik Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kerana gagal memahami ciri-ciri perniagaan penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Riad Asmat berkata, badan penerbangan terbabit bukan hanya gagal memahami industri tersebut malah Mavcom lebih banyak menjejaskan daripada memajukan sektor penerbangan Malaysia apabila cuba mengawal semuanya.

“Ia tidak mengembangkan industri ini apabila proses kelulusan lewat serta bayaran tinggi berbanding negara lain yang membuat pelaburan besar untuk mempertingkatkan kesambungan trafik, sehingga menjejaskan sektor pelancongan dan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Merujuk penurunan tiga peratus ketibaan pelancong di Malaysia kepada 25.96 juta pada 2017 yang disaksikan AirAsia, Riad berkata penolakan Mavcom terhadap permohonan laluan hanya akan memburukkan lagi isu tersebut dan membantutkan sektor pelancongan negara serta ekonomi.

Riad menekankan, syarikat penerbangan tempatan telah sedia ketinggalan berbanding firma penerbangan Asean lain dari segi tempat duduk mingguan keseluruhan yang dikhususkan bagi destinasi di Asia.

“Menurut Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, syarikat penerbangan Thailand memperuntukkan 893,166 tempat duduk mingguan manakala syarikat penerbangan Singapura menyediakan 661,863 tempat duduk mingguan berbanding 590,422 oleh pengangkut Malaysia setakat Disember 2017.

“Mavcom menghalang pertumbuhan, cara ini hanya akan memberi peluang  kepada syarikat penerbangan serantau lain yang dibolehkan berkembang  tanpa sekatan tidak wajar oleh badan berkuasa penerbangan awam mereka,” katanya.

Sambil menekankan bahawa Mavcom bukan sebuah syarikat penerbangan, CEO AirAsia itu berkata, suruhanjaya penerbangan tersebut perlu  menyerahkan urusan perniagaan penerbangan kepada syarikat penerbangan sebenar seperti AirAsia yang memahami pasaran.

“Kami mengendalikan lebih daripada 320 laluan, satu pertiga daripadanya adalah unik, ke lebih 130 destinasi di seluruh Asia Pasifik, Asia Barat dan Amerika Syarikat,” katanya.

Semalam, Mavcom mempertahankan keputusannya untuk menolak permohonan AirAsia menambah penerbangan bagi dua laluan iaitu Kota Kinabalu-Sandakan dan Kuala Lumpur-Haikou, atas dasar lebihan kapasiti laluan. - Bernama