Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama

KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup tinggi berbanding kumpulan mata wang utama namun susut berbanding dolar AS pada Khamis berikutan unit negara maju terus menerima sokongan kukuh walaupun jangkaan untuk Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah semakin berkurangan.
Pada jam 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.0830/4.0875 berbanding dolar AS daripada 4.0785/4.0820 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, unit tempatan diniagakan dalam julat kecil antara RM4.0820 dan RM4.0875 berbanding dolar AS pada Khamis.
"Kebarangkalian untuk kenaikan kadar faedah AS telah menurun di bawah 50 peratus daripada lebih 70 peratus sebelum ini susulan pengumuman data terkini kadar inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang lebih rendah daripada jangkaan pasaran.
"Bagaimanapun, dolar AS terus mendapat sokongan kukuh dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.30 peratus kepada 101.759 mata,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, beliau berkata, terdapat kemungkinan bahawa Fed akan menangguhkan kenaikan kadar faedahnya pada Oktober manakala pasaran terus menyesuaikan jangkaan berdasarkan data kadar inflasi PCE terkini.
Berbanding mata wang utama, ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6015/6066 daripada 4.6324/6363 semasa ditutup pada Rabu, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3896/3955 daripada 5.4162/4209 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5781/5811 daripada 2.5969/5993.
Berbanding mata wang ASEAN pula menyaksikan unit tempatan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1856/1894 daripada 3.1943/1973 pada Rabu, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1111/1294 daripada 12.1521/1666 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51 daripada 6.51/6.52.
Ringgit tidak banyak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 227.2/227.6 berbanding 227.9/228.2. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
