Jauh di pedalaman bukan penghalang, Agrobank bawa akses kewangan terus ke kampung

TINGGAL jauh di pedalaman bukan lagi alasan untuk masyarakat Orang Asli terus ketinggalan dalam akses kewangan apabila Agrobank turun padang membawa literasi kewangan, khidmat nasihat dan kemudahan pembukaan akaun bank kepada kira-kira 2,000 penduduk di lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, jarak dari kawasan bandar tidak seharusnya menjadi penghalang kepada masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan perkhidmatan perbankan yang boleh membantu meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
Menurut beliau, pendekatan turun padang membolehkan Agrobank memahami keperluan sebenar masyarakat setempat sebelum menyediakan sokongan kewangan yang lebih bersesuaian.
"Melalui pendekatan turun padang, kami dapat memahami keperluan masyarakat setempat dan menyediakan sokongan kewangan yang lebih bersesuaian.
"Komitmen Agrobank terhadap keterangkuman kewangan bukan sahaja diterjemahkan melalui peluasan akses kepada perkhidmatan perbankan, malah menerusi sokongan pembiayaan kepada usahawan dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, beliau menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Galang, Kampung Redip, Kampung Tapai, Kampung Ladoi dan Pos Balar di sini sempena Program Kembara Merdeka @ Galas ‘Be Ades Ma Kampung’.
Dalam program berkenaan, Agrobank turut memberi pendedahan berkaitan literasi kewangan, produk dan perkhidmatan perbankan serta khidmat nasihat kewangan.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, masyarakat Orang Asli yang berminat turut dibantu untuk membuka akaun bank bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan perbankan formal serta mengurus kewangan dengan lebih teratur.
Katanya, Agrobank turut menyampaikan cek cura bagi Pelan Perlindungan Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus (TKP) bernilai keseluruhan RM3.3 juta kepada 300 masyarakat Orang Asli di DUN Galas.
Menurutnya, pelan berkenaan menawarkan manfaat perlindungan termasuk kematian akibat kemalangan, keilatan kekal, perbelanjaan pengebumian dan perubatan serta elaun hospital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

