Touch 'n Go tambah 10 lagi lorong Enhanced RFID

TOUCH 'n Go Sdn Bhd (Touch 'n Go) akan menambah 10 lagi lorong Enhanced RFID menjelang akhir tahun ini sebagai menyokong ekosistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).
Lorong baharu berkenaan akan diwujudkan di lima lebuh raya, masing-masing dua lorong di Plaza Tol Putrajaya di Lebuhraya Maju (MEX), Plaza Tol Sungai Ramal di Lebuhraya Kajang Dispersal Link (SILK), Plaza Tol Bukit Raja di Lebuhraya Grand Sepadu dan Plaza Tol Bukit Jelutong di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).
Dua lagi lorong, masing-masing satu di Plaza Tol Sungai Long dan Plaza Tol Ampang di Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).
Pengumuman tersebut bersempena dengan ulang tahun ke-30 Touch 'n Go, selaras dengan visi syarikat untuk menyokong inisiatif kutipan tol dengan menyediakan teknologi yang kukuh dan terbukti berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn Bhd, Prabakaran Sangarajoo berkata, peluasan tersebut menyokong visi lebih luas syarikat untuk menambah baik aliran trafik dan menyediakan perjalanan lebih lancar menerusi teknologi yang mampu beroperasi dengan baik dalam pelbagai keadaan trafik, cuaca serta jalan raya.
Berbeza dengan lorong RFID konvensional, menurut beliau, lorong Enhanced RFID menggabungkan komponen terpilih daripada teknologi Titan Flow yang dibangunkan sendiri oleh Touch ‘n Go, dengan menggabungkan keupayaan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) serta kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML).
"Peralihan Malaysia ke arah SLFF dan MLFF memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, syarikat konsesi lebuh raya dan rakan industri.
“Touch ‘n Go komited untuk memainkan peranan dengan terus melabur dalam teknologi yang bersedia menyokong peralihan itu.
“10 lorong RFID Dipertingkat tambahan ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan yang boleh disediakan teknologi kami ketika ini, malah bagaimana keupayaan yang sedang digunakan boleh menyokong perkembangan industri ke arah kutipan tol tanpa penghadang pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, sambutan ulang tahun tersebut diadakan di Pavilion Touch ‘n Go, sempena Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik My-ASEAN (MyARTTE) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Bertemakan 'Masa Depan Mobiliti Malaysia, Dibina Atas 30 Tahun Kepercayaan', ia memberi peluang kepada pengunjung meneroka teknologi, infrastruktur dan ekosistem yang telah menyokong perjalanan rakyat Malaysia selama satu generasi.
Pavilion Touch ‘n Go turut menerima kunjungan delegasi diketuai Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Dalam pada itu, bagi membantu pengguna mengenal pasti lorong berkenaan dengan mudah, lorong Enhanced RFID akan ditandakan dengan simbol bintang berwarna emas pada papan tanda lorong.
Lorong Enhanced RFID tersebut juga menggunakan teknologi Titan Flow yang dibangunkan sendiri oleh TNG, yang menggabungkan keupayaan RFID yang dipertingkatkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin.
Sejak diperkenalkan pada 2019, lebih 4.8 juta pengguna kenderaan telah menggunakan RFID, membolehkan mereka melalui plaza tol tanpa perlu berhenti atau menurunkan cermin kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
