Mydin bakal buka cawangan baharu di Hab Komersial Bidara Suria

Kerjasama strategik pembukaan cawangan baharu Mydin di Hab Komersial Bidara Suria membabitkan plot tanah seluas 20,000 kaki persegi.
Kerjasama strategik pembukaan cawangan baharu Mydin di Hab Komersial Bidara Suria membabitkan plot tanah seluas 20,000 kaki persegi.
A
A
A

RANGKAIAN pasar raya terbesar di Malaysia, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dan Seri Pajam Development Sdn Bhd (Seri Pajam Development) menandatangani 'perjanjian pelaburan tidak terikat' bagi sebidang tanah di Hab Komersial Bidara Suria.

Ia sekali gus menandakan bermulanya kerjasama strategik pembukaan cawangan baharu Mydin di pusat komersial itu yang terletak di Perbandaran Nada Bidara Gadong Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

Di bawah cadangan pembangunan itu, cawangan baharu Mydin meliputi kira-kira 20,000 kaki persegi menjadikannya penyewa utama bagi Hab Komersial Bidara Suria.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin Mohamed berkata, kerjasama tersebut mencerminkan usaha berterusan pihaknya membawa perkhidmatan peruncitan mudah diakses selain menawarkan nilai kepada komuniti yang sedang berkembang.

Ameer Ali Mydin ketika menyampaikan ucapan pada majlis menandatangani 'term sheet' antara Mydin dan Seri Pajam Development di Ibu Pejabat Mydin baru-baru ini.
Ameer Ali Mydin ketika menyampaikan ucapan pada majlis menandatangani 'term sheet' antara Mydin dan Seri Pajam Development di Ibu Pejabat Mydin baru-baru ini.

Menurut beliau, sinergi itu berupaya menyokong visi Seri Pajam Development dalam mewujudkan perbandaran bersepadu yang menggabungkan kediaman, perniagaan dan kemudahan asas.

"Cadangan pembukaan cawangan ini memberi peluang buat Mydin untuk memenuhi keperluan populasi yang semakin berkembang di salah satu koridor pertumbuhan kediaman dan perindustrian baharu di Seremban," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Majlis menandatangani 'perjanjian pelaburan tidak terikat' atau 'term sheet' antara kedua-dua syarikat itu berlangsung di Ibu Pejabat Mydin di Subang Jaya.

Artikel Berkaitan:

Sekitar majlis menandatangani 'term sheet' antara Mydin dan Seri Pajam Development.
Sekitar majlis menandatangani 'term sheet' antara Mydin dan Seri Pajam Development.

Bidara Suria merupakan sebahagian daripada Perbandaran Nada Bidara seluas 52 hektar yang terus berkembang menerusi pembangunan kediaman dan komersial.

Perbandaran itu merangkumi Tunas Residensi, Tinta Residensi dan pembangunan baharu rumah teres dua tingkat Taman Sentul.

Mempunyai jaringan strategik dengan Seremban 2, Sendayan, Labu serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bidara Suria meliputi kawasan melebihi 80,000 penduduk di Sendayan, Enstek, Labu, Kota Seriemas, Gadong Jaya dan lain-lain.

Lokasi itu turut mendapat manfaat daripada aktiviti perindustrian dan sektor pembuatan syarikat multinasional berhampiran.

Hab komersial berkenaan merangkumi 113 unit pejabat kedai satu dan dua tingkat, selain kelebihan berhadapan jalan utama, ruang parkir yang luas serta akses mudah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Seri Pajam Development, Ten Wee Seong berkata, kerjasama tersebut mengorak satu lagi langkah dalam usaha menjadikan Nada Bidara sebagai perbandaran yang lebih lengkap dengan kemudahan komersial seiring pertumbuhan kawasan kediaman.

Katanya, pembangunan perbandaran yang bagus bukan sekadar membina kediaman dan ruang komersial, tetapi juga keperluan mengambil kira perkembangan komuniti dalam jangka panjang.

“Ia mengenai bagaimana komuniti akan berkembang dan mewujudkan ekosistem yang membolehkan penduduk, perniagaan serta perkhidmatan berkembang secara bersama.

“Sejak awal lagi, Nada Bidara dirancang dengan perspektif jangka panjang ini.

"Kehadiran Mydin di Hab Komersial Bidara Suria akan meningkatkan kemudahan harian penduduk, selain mewujudkan momentum komersial dan peluang lebih besar kepada perniagaan di Gadong Jaya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!