Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan utama pelancong Singapura
$entry.content.caption.value

SINGAPURA - Malaysia akan terus kekal menjadi destinasi utama percutian rakyat Singapura berdasarkan kedudukannya yang dekat serta
hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang mesra, kata Pengarah Tourism Malaysia bagi Singapura Zalizam Zakaria.

Beliau berkata hubungan kukuh antara negara berjiran itu, gaya hidup yang serupa, makanan yang menyelerakan, kadar tukaran mata wang yang menarik, membeli-belah, kemampuan yang semakin meningkat untuk melakukan perjalanan udara, terutama menerusi penerbangan tambang rendah, memudahkan mereka melawat Malaysia dengan lebih kerap.

"Industri Pelancongan Malaysia merupakan penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara dari segi tukaran mata wang asing, yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama, terutama untuk insentif percutian dan perjalanan.

"Pada 2010, Malaysia menerima 24.6 juta pelancong, yang membelanjakan RM56.5 bilion. Daripada jumlah itu, rakyat Singapura menyumbang RM28.4 bilion menerusi 13 juta ketibaan," katanya.

Zalizam berkata Malaysia menawarkan pelbagai produk pelancongan yang menarik sepanjang tahun untuk dinikmati pelawat, termasuk tarikan baharu.

Beliau berkata Johor Premium Outlet, Pusat Premium Outlet di Asia Tenggara di Kulaijaya, dekat Bandaraya Johor Baharu yang dibuka pada 11 Dis tahun lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menawarkan jenama terkemuka seperti  Armani, Burberry, Coach, Gap dan Nike.

Produk berkenaan dijual pada diskaun 25 peratus hingga 65 peratus. Tambahan pula, ia hanya mengambil masa kurang dari 30 minit dari Link Kedua untuk sampai ke premis berkenaan yang mempunyai 2,600 tempat meletak kenderaan.

Zalizam berkata satu lagi tarikan baharu yang dijangka menarik pelawat Singapura ialah Legoland Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada koridor ekonomi Iskandar Malaysia.

Dijadual dibuka pada akhir 2012, projek seluas 30.4 hektar itu akan menawarkan suasana pengembaraan dan keriangan keluarga. Ia dipenuhi lebih 40 permainan, pertunjukan dan tarikan untuk dinikmati oleh pelawat.

Tarikan utama taman itu ialah "MINILAND" di mana bandar dan landskap terkemuka Asia dibina menggunakan lebih daripada 25 juta bata LEGO, yang tertera ilustrasi terperinci bandar-bandar berkenaan.

Zalizam berkata pembukaan Lebuhraya Desaru E22 baharu, telah mengurangkan sehingga separuh daripada tempoh perjalanan dari Singapura, menyediakan akses mudah untuk rakyat negara itu, untuk antara lain, melawat resort pantai, tarikan kelip-kelip, ladang buah-buahan Desaru serta ladang burung unta.

Hotel dan kemudahan infrastruktur di dan sekitar kawasan terbabit sudah ditingkatkan bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelawat tempatan dan asing.

Pembukaan lebih banyak taman tema di Malaysia seperti "The Lost World of Tambun" di Ipoh dan "Bukit Gambang Resort City" di Kuantan, yang menawarkan keriangan kepada pelawat, juga merupakan penyumbang tambahan kepada industri pelancongan Malaysia yang semakin meningkat ini.

Zalizam berkata I-City, yang juga dikenali sebagai Bandaraya Cahaya Digital di Selangor, merupakan tarikan terbaharu di Malaysia. Ia diperakui sebagai destinasi pelancongan cahaya pertama di Malaysia, menerusi pertunjukan teknologi LED yang canggih, katanya.

Beliau juga berkata barisan acara menarik dianjurkan tahun lepas untuk tokoh korporat, wartawan dan orang ramai. Beliau berkata Tourism Malaysia turut bersama menganjurkan dan menyertai acara pengguna seperti 50Plus Expo, Travel Malaysia Fair dan Fascinating Malaysia Travel Fair. Berdasarkan sambutan dan jualan yang dijana menerusi ekspo terbabit, pameran itu terbukti sangat berjaya.

Mengenai pasaran sasaran, Zalizam berkata: "sasaran utama kami ialah pelancong asing, terutama Singapura dan pegawai dagang, dan produk utama pelancongan ialah inap desa serta pelancongan berasaskan alam sekitar dan kembara."

Beliau berkata produk seperti menyelam dan golf akan diberikan tumpuan yang lebih kali ini. Zalizam berkata rakyat Singapura merupakan pelawat berulang dan jika mereka berpuas hati terhadap tempat yang dikunjungi, mereka akan datang semula dan menyebarkan berita baik itu kepada rakan dan saudara-mara masing-masing.

Beliau berkata Tourism Malaysia Singapura sentiasa menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri membawa lebih ramai pemilik produk untuk menyertai pameran pengguna seperti Fascinating Travel Malaysia Fair (27-29 April dan 2-4 November) dan Travel Malaysia (11-13 Mei dan 12-14 Oktober), yang diadakan dua kali setahun.

"Kami juga berharap aliran trafik di pusat pemeriksaan kastam, imigresen dan kuarantin lebih lancar pada tempoh puncak, cuti sekolah, hujung minggu yang panjang dan musim perayaan, supaya lebih ramai rakyat Singapura menyeberang ke Malaysia tanpa masalah," katanya. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.