Geng Lan Ijok tumpas, dua lelaki ditahan

Osman (dua, kanan) menunjukkan peralatan yang digunakan Geng Lan Ijok untuk memecah masuk rumah mangsa pada sidang media di IPD Taiping hari ini.
Osman (dua, kanan) menunjukkan peralatan yang digunakan Geng Lan Ijok untuk memecah masuk rumah mangsa pada sidang media di IPD Taiping hari ini.
A
A
A

TAIPING - Polis berjaya menumpaskan Geng Lan Ijok dengan menahan dua lelaki termasuk dalang utama yang dipercayai terbabit dalam 16 kes pecah rumah sekitar Assam Kumbang di sini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 40 tahun itu ditahan menerusi operasi khas Ops Pintu, Isnin minggu lalu.

“Serbuan pada jam 4 petang itu melibatkan sebuah rumah di Jalan Panglima, Assam Kumbang dan menahan suspek pertama berusia 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

“Hasil soal siasat membawa penahanan rakan sejenayahnya yang dikenali sebagai Lan Ijok di kawasan dusun durian di Redang Panjang, Selama,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan berjaya menemui semula pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan kumpulan itu yang dianggarkan bernilai RM70,000.

“Antara barangan yang dirampas adalah pelbagai barangan kemas, jam tangan mewah, telefon bimbit dan pelbagai gajet.

“Kumpulan ini mula aktif sejak akhir tahun 2018 dan menyasarkan rumah penduduk yang tiada penghuni pada waktu malam dengan mengumpil pintu atau tingkap rumah mangsa,” katanya.

Osman berkata, pihaknya akan melanjutkan tempoh reman kedua-dua suspek bagi mengenal pasti penglibatan lain-lain kes.

Artikel Berkaitan:

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dalam jenayah dan dadah.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan,” katanya.