Dewan Rakyat 'tegang' lagi kerana Menu Rahmah

Gambar dari kiri: Kelvin, Halimah
Gambar dari kiri: Kelvin, Halimah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat kembali tegang disebabkan pertikaian berkaitan kenyataan Ahli Parlimen Kapar, Halimah Ali berhubung Menu Rahmah.

Ketegangan bermula apabila Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen meminta agar Dewan Rakyat mengarahkan Halimah menarik balik kenyataan yang mendakwa Menu Rahmah boleh mengakibatkan penyakit kanser dan autisme.

Menurut Kelvin, kenyataan yang dibuat oleh Halimah adalah tidak benar dan disifatkan sebagai mengelirukan dan menghina majlis.

"Saya telah mengutuskan surat kepada pejabat Speaker dan mencadangkan Dewan ini merujuk Ahli Parlimen Kapar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut perkara 36(12) kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan boleh disifatkan menghina majlis.

"Kita tahu pada 12 Febuari lalu beliau mengeluarkan kenyataan semasa perbahasan bahawa Menu Rahmah boleh menyebabkan beberapa penyakit terutamanya autisme dan kanser.

"Kenyataan tersebut tidak benar dan tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja tidak berdasarkan fakta tetapi boleh mengakibatkan stigma dan salah faham kepada komuniti autisme dan masyarakat orang kurang upaya (OKU),” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Kelvin yang juga Ketua Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY) berkata, beliau turut menyertakan bukti hansard Halimah setelah pemimpin Pas itu masih menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut pada Isnin.

“Jadi saya menyertakan bukti hansard Ahli Parlimen Kapar untuk jasa baik Speaker, jika mungkin Ahli Parlimen Kapar sanggup tarik balik dan minta maaf kepada kita dan semua komuniti yang terkesan,” katanya.

Bagaimanapun, cadangan Kelvin menerima reaksi daripada Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar), yang menyifatkan kenyataan Halimah telah disalah erti.

Mohd Misbahul turut membacakan semula kenyataan yang dikeluarkan oleh Halimah, dan menegaskan ia adalah bermaksud memberikan nasihat kepada para peniaga agar tidak menyediakan Menu Rahmah yang kurang berkualiti.

“Saya bacakan kenyataan Halimah; “Saya tidak ada masalah dengan istilah rahmah atau apa, tetapi jangan lah sampai rakyat marhaen, B40 diberikan bekal makan yang ‘low quality’, yang mungkin menyebabkan kanser,” katanya.

Tindakan itu menggamatkan lagi Dewan Rakyat apabila beberapa ahli parlimen serentak menyuarakan bahawa kenyataan tersebut adalah sama maksud dengan isu yang dibangkitkan.

Pertikaman lidah antara Kelvin dengan Mohd Misbahul turut berlaku dimana Kelvin menegaskan bahawa tiada sebarang fakta yang menggaitkan makanan dengan punca penyakit autisme.

Dewan kembali tenang apabila ang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul bertindak menenteramkan situasi tegang itu dan memaklumkan akan menilai hansard dan membuat keputusan berhubung perkara itu pada Rabu.