'Kami tidak sanggup lihat video kemalangan'

Dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah disita untuk siasatan lanjut. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Muhammad Amir)
Dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah disita untuk siasatan lanjut. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Muhammad Amir)
A
A
A

TAIPING - Ahli keluarga kepada penonton yang meninggal dunia ketika menyaksikan acara permotoran di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah pada Sabtu meminta semua pihak tidak menyebarkan video kemalangan terbabit.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, dirempuh sebuah kereta lumba yang hilang kawalan ketika berada berhampiran garisan penamat.

Abang kepada mangsa yang enggan dikenali berkata, keluarga tidak sanggup untuk melihat rakaman video yang telah tular di media sosial dan berharap semua pihak memahami perasaan mereka sekeluarga.

"Saya minta semua hentilah sebar video atau padamkan sahaja. Kami sendiri tidak sanggup untuk lihat video itu.

"Kehilangan adik amat mengejutkan terutama kepada ibu serta adik ipar. Emosi mereka tidak stabil lagi ketika ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Saujana Permai, Assam Kumbang di sini pada Ahad.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Nor Idayu Yunus, 29, yang mengandung tiga bulan enggan mengulas lanjut kejadian yang menimpa suaminya yang juga pengusaha bengkel kenderaan itu.

"Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan. Saya tahu suami pergi ke sana tapi saya tidak ada apa-apa yang mahu dikatakan," katanya ringkas.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia 6, 3 tahun dan bayi 10 bulan.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Hidayah di sini selepas sembahyang Subuh.

Media melaporkan mangsa dirempuh kereta jenis Proton Satria ketika menyaksikan acara permotoran melibatkan 12 kenderaan bagi kategori 1800cc.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila dua kenderaan gagal mengawal kenderaan ketika bergesel semasa menghampiri garisan penamat.

Mangsa yang menerima rawatan di wad kecemasan, Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, Parit disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.