Najib sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru

Najib menunaikan solat Isyak, solat hajat dan bermunajat sebelum melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru pada malam Ahad.
Najib menunaikan solat Isyak, solat hajat dan bermunajat sebelum melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru pada malam Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru di sini pada malam Ahad.

Najib membacakan teks sumpah selepas selesai, solat Isyak, hajat dan doa munajat bersama jemaah masjid berkenaan menjelang prosiding rayuan akhir kes beliau di Mahkamah Rayuan pada Selasa ini.

Beliau dalam sumpah mubahalahnya itu memaklumkan tidak pernah mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta itu datangnya daripada syarikat SRC secara langsung atau tidak sehingga kini.

"Kedua, aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkumkan apa-apa dana bagi tujuan peribadi atau keluargaku.

"Ketiga, aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan.

"Keempat, aku tidak pernah terlibat dalam mesyuarat Kabinet untuk meluluskan jaminan-jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sebanyak RM4 billion kepada syarikat SRC bagi tujuan aku mendapatkan habuan haram RM42 juta tersebut," katanya dalam lafaz sumpah itu.

Terdahulu Ahli Parlimen Pekan dalam ucapannya berkata, beliau berharap mendapat keadilan dan kebenaran akan muncul.

"Semoga Allah SWT memudahkan dan mengampunkan segala dosa kita, saya berdiri di sini atas tujuan pertama sebagai hamba Allah saya ingin membersihkan nama saya dan memohon pertolongan pada Allah SWT," katanya.

Najib bersama anak lelakinya, Nor Ashman tiba di masjid berkenaan jam 8.20 malam sebelum disertai isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir beberapa pemimpin UMNO termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Pada 18 Ogos lalu, Najib mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah pada 28 Julai 2020.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan untuk ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke terhadapnya.